KUALA LUMPUR – Dengan pengalaman hampir dua dekad dalam industri radio Malaysia termasuk di stesen-stesen utama seperti IKIM, Suria FM dan Zayan, personaliti radio, Wan Syahrul Amry yang lebih dikenali sebagai Wan Ajaib kini memilih untuk pulang berbakti ke tanah kelahirannya di Kelantan.
Dia mengorak langkah baharu dengan menubuhkan Kelab Pencinta Radio Kelantan dan Akademi Wan Ajaib iaitu inisiatif yang dijangka bakal menghidupkan semula minat terhadap dunia penyiaran di kalangan anak muda Kelantan.
Kelab dan akademi itu ditubuhkan sebagai platform untuk melahirkan bakat baharu dalam bidang radio, podcasting dan media digital.
Wan Ajaib berkata, Kelab Pencinta Radio Kelantan akan menjadi ruang komuniti terbuka untuk peminat penyiaran dari peminat muzik, pengacara amatur, peminat nostalgia radio klasik hinggalah ke generasi baru TikTok dan podcast.
“Aktiviti seperti sesi konti terbuka, bengkel teknik suara, dan sembang santai bersama figura radio akan dianjurkan secara berkala manakala Akademi Wan Ajaib pula akan berfungsi sebagai pusat latihan dan bimbingan khusus dalam bidang penyiaran.
“Ia melibatkan modul merangkumi asas penyiaran radio dan podcast, penulisan skrip kreatif, pengurusan kandungan media sosial, teknik rakaman dan suntingan audio dan etika penyiaran Islamik dan tanggungjawab sosial digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, penubuhan Kelab Pencinta Radio Kelantan dan Akademi Wan Ajaib dilihat seiring dengan projek tanggungjawab sosial korporat jangka panjang Radio Komuniti WanAjaib.com yang sedang dirancang untuk beroperasi sebagai radio digital komuniti pertama di Kelantan.
Untuk maklumat lanjut, pendaftaran program atau kerjasama strategik untuk inisitatif ini, orang ramai yang berminat boleh melayari www.wanajaib.com. – MalaysiaGazette