ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan pengusaha pelancongan supaya sentiasa menjaga kebersihan dan menghindari sikap rakus yang boleh menjejaskan ekosistem kawasan pelancongan negeri itu.
Baginda mengingatkan pengusaha pelancongan supaya bersama-sama kerajaan negeri mengembleng tenaga dan idea dalam menjayakan sektor pelancongan Johor.
“Tolong sentiasa jaga kebersihan dan hindari sikap kerakusan yang boleh hingga boleh menganggu ekosistem sesuatu tempat pelancongan berkenaan.
“Setiap perancangan perlu bersistem dan mengambil kira daripada segala sudut supaya keindahan alam semulajadi dan nilainya terjamin serta terjaga,” titah baginda.
Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian semasa merasmikan pembukaan penggal persidangan DUN yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Baginda bertitah, Johor bertuah kerana memiliki alam semula jadi indah dan menarik serta ada bangunan warisan bersejarah yang mampu jadi tarikan pelancongan dari seluruh dunia.
Sehubungan itu, baginda menitahkan kerajaan Johor melakukan kerja naik taraf infrastruktur pelancongan sedia ada serta menggerakkan promosi semua produk pelancongan dengan lebih agresif.
“Tanggungjawab mengenai perkara ini perlu mendapat perhatian sepenuhnya kerajaan negeri untuk melaksanakan peruntukan untuk menaik taraf infrastruktur dan promosi pelancongan,” titahnya.
Selain itu, Tunku Mahkota Ismail mahu undang-undang lebih tegas perlu dikenakan terhadap individu yang membuang sampah di sungai di negeri ini.
Baginda kecewa dengan perbuatan tersebut yang membebankan kerajaan negeri kerana terpaksa membelanjakan wang rakyat untuk kerja-kerja pembersihan.
“Saya kesal apabila mendengar dan melihat sendiri apabila masih ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah dalam sungai baru-baru ini.
“Sedangkan wang rakyat yang dibelanjakan untuk pembersihan sungai itu sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan. Kes-kes seperti ini tidak seharusnya berlaku dan saya menitahkan supaya kerajaan Johor dan pihak berkuasa duduk berbincang bagi melaksanakan hukuman yang sangat tegas terhadap individu atau mereka yang masih lagi sewenang senangnya membuang sampah ke dalam sungai atau di mana-mana tempat,” titah baginda.
Minggu lalu, media melaporkan dua lelaki membuang sampah ke dalam dan tepi sungai di Taman Sri Plentong, Pasir Gudang yang berjaya dirakam pengguna jalan raya.
Rakaman kamera papan pemuka kereta dalam tempoh dua minit 11 saat itu antara lain memaparkan seorang lelaki berbaju merah membuang sampah dipercayai kepingan kotak dari sebuah lori sarat dengan muatan ke dalam sungai.
Bagaimanapun, syarikat yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu telah dikenakan kompaun berjumlah RM1,000.- MalaysiaGazette