Perbandingan antara projek MyKiosk 2.0 dengan projek PPR.

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Jabatan Audit Negara menjalankan audit terperinci ke atas kos dan tatacara pelaksanaan MyKiosk 2.0 yang kini mencetuskan perdebatan awam.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu memulakan siasatan terhadap kemungkinan wujud salah guna kuasa dalam projek itu.

Dalam masa sama, beliau menyarankan kerajaan memperkenalkan dasar mewajibkan pendedahan awam berhubung pecahan kos untuk setiap projek kerajaan secara digital dan terbuka.

harta menteri kabinet
Jais Abdul Karim

Ujarnya, ia berikutan perbezaan ketara kos projek MyKiosk 2.0 iaitu RM25,000 bagi hanya 62 kaki persegi berbanding projek perumahan rakyat (PPR) dimiliki seluas 700 kaki persegi yang hanya berharga RM35,000.

Tambah beliau, projek PPR yang lengkap dengan tiga bilik tidur dan pelbagai kemudahan asas berharga hanya RM50 per kaki persegi, sebaliknya, sebuah unit MyKiosk 2.0 yang jauh lebih kecil berharga hampir RM403 per kaki persegi.

“Jurang ini amat besar dan memerlukan penjelasan menyeluruh oleh pihak kementerian yang terlibat.

“Perbezaan ketara ini menimbulkan persoalan wajar dari sudut nilai wang (value for money), ketelusan perolehan serta keutamaan dasar kerajaan dalam menangani keperluan rakyat terbanyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Projek MyKiosk 2.0 itu ketika ini mencetuskan pertikaian banyak pihak selepas dikatakan menjadi projek gajah putih disebabkan tidak dimanfaatkan sepenuhnya selain dibiarkan kosong di beberapa kawasan di seluruh negara.

Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming memaklumkan projek MyKiosk 2.0 itu telah memberi manfaat kepada penjaja kecil dengan ada daripada mereka yang meraih pendapatan mencecah RM30,000 sebulan.

Sementara itu, Jais berkata, meskipun KPKT menjelaskan kos RM25,000 disebabkan penambahbaikan reka bentuk bertujuan meningkatkan kesejahteraan peniaga kecil, namun ia perlu disokong dengan pecahan kos terperinci dan dokumen perolehan yang telus.

Ia, katanya, bagi memastikan tiada unsur pembaziran atau ketirisan dana awam berlaku melibatkan projek kerajaan.

Dalam masa sama, beliau menyeru supaya keutamaan diberikan kepada penyediaan rumah mampu milik seperti PPR dalam situasi ekonomi yang mencabar dan kadar pemilikan rumah rakyat masih rendah.

Tegasnya, sebarang projek mikro seperti MyKiosk 2.0 perlu dilihat dalam konteks keberkesanan sosial dan pulangan kepada rakyat bukan sekadar pelaksanaan belanjawan.

“MCW ingin mengingatkan bahawa integriti dalam pentadbiran awam bukan sahaja bergantung kepada niat yang baik, tetapi juga pada ketelusan, kebertanggungjawaban dan kecekapan pelaksanaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here