ISKANDAR PUTERI – Tunku Mahkota Ismail bertitah, Johor bukan sahaja sedang membina kemudahan sukan bertaraf dunia, tetapi turut menumpukan usaha melahirkan atlet berkualiti tinggi.
Pemangku Sultan Johor bertitah, usaha tersebut juga akan memperkukuh industri sukan agar dapat menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.
Baginda menyifatkan usaha itu berada pada landasan tepat untuk menjadi peneraju agenda Sport Nation menjelang tahun 2030, hasil pelaburan berterusan dalam pembangunan sukan negeri.
“Ekosistem sukan Johor semakin pesat berkembang termasuk pembinaan infrastruktur moden, program pembangunan akar umbi serta penglibatan tokoh sukan bertaraf dunia.
“Saya ingin melihat Johor menjadi negeri contoh dalam melaksanakan agenda Sport Nation menjelang 2030,” titah baginda.
Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian semasa merasmikan pembukaan penggal persidangan DUN yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Dalam pada itu, baginda bertitah pelantikan ikon sukan seperti Datuk Lee Chong Wei dan Sonny Bill Williams sebagai Duta Sukan Johor dilihat strategi berimpak tinggi untuk mempromosikan sukan Johor ke peringkat antarabangsa dan memberi inspirasi kepada generasi muda.
Tunku Ismail turut menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri, sektor pendidikan, persatuan sukan, syarikat korporat dan komuniti agar terus berganding bahu dalam memacu kecemerlangan sukan di Johor. – MalaysiaGazette