KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit terkenal, Michael Ang mencetuskan kemarahan netizen selepas mengeluarkan kenyataan seakan-akan menyalahkan wanita sebagai punca suami berlaku curang.
Menerusi sebuah audio siar yang tular di media sosial, Michael mendakwa ‘penyondol’ atau orang ketiga tidak akan berjaya merosakkan rumah tangga sekiranya si suami benar-benar bahagia dengan pasangannya.
“Lelaki yang curang memang salah tapi kau tak boleh salahkan penyondol sahaja. Kau ada tanya tak diri kau kenapa suami cari orang ketiga? Mungkin kepam atau suka korek hidung.
“Apa yang kau tahu, melalak di media sosial macam anjing,” katanya.
Bagaimanapun kenyataan itu dianggap keterlaluan oleh netizen khususnya golongan wanita yang menyifatkan pandangan Michael sebagai tidak sensitif terhadap realiti kehidupan berumahtangga.
“Hilang hormat dekat Michael Ang. Perempuan ‘kepam’ sebab jaga anak-anak kecil sampai tak sempat jaga diri sendiri,” tulis seorang pengguna.
“Kalau nak wangi 24 jam, suruh lelaki sediakan dua orang pembantu. Ini nafkah pun ke laut,” kata netizen lain.
Terdapat juga pengguna media sosial yang menyifatkan kecurangan berlaku bukan kerana kekurangan pasangan tetapi disebabkan hilangnya rasa syukur dan tanggungjawab dalam diri individu.
Kenyataan Michael itu hadir di tengah-tengah perdebatan hangat di media sosial berhubung isu orang ketiga yang sering dikaitkan sebagai punca keruntuhan rumah tangga selebriti dan orang awam. – MalaysiaGazette