KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyemak semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang akan diumum dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi, kata gabenornya, Datuk Seri Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.
Beliau berkata, unjuran baharu hanya akan dimuktamadkan selepas pihaknya memperoleh lebih kepastian mengenai dasar tarif Amerika Syarikat (AS) serta hasil rundingan perdagangan antara Malaysia dan ekonomi terbesar dunia itu.
“Walaupun kami mempunyai pandangan dalaman terhadap unjuran KDNK, rundingan perdagangan masih berjalan dan hasilnya masih belum menentu.
“Semua ini boleh memberi kesan terhadap prospek ekonomi BNM dan kami akan muktamadkan unjuran baharu dalam satu hingga dua bulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2025 di Bank Negara Malaysia (BNM) di sini hari ini.
Untuk rekod, tarif timbal balas AS ke atas beberapa negara termasuk Malaysia telah ditangguhkan selama 90 hari, bermula 9 April hingga 8 Julai ini.
Abdul Rasheed menambah, beberapa data masih perlu dikaji termasuk keperluan mendapatkan kejelasan lanjut berhubung hasil rundingan semasa.
Kata beliau, pihaknya baru sahaja membuat unjuran pertumbuhan dan telah meletakkan andaian yang agak konservatif terhadap tarif AS.
“Namun, pengumuman tarif timbal balas tersebut berlaku di luar jangkaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa BNM memerlukan lebih banyak maklumat dan data sebelum boleh memuktamadkan sebarang unjuran baharu.
Sebelum ini, unjuran pertumbuhan KDNK BNM bagi tahun 2025 berada dalam julat 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun ini kepada 4.1 peratus berbanding 4.7 peratus sebelum ini selari dengan penyusutan unjuran pertumbuhan ekonomi di seluruh rantau ini.
Bank Dunia pula mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 3.9 peratus, daripada 4.5 peratus sebelum ini, sejajar dengan perkembangan semasa yang turut melibatkan perang perdagangan global. – MalaysiaGazette