Seekor gajah betina tidak berganjak selepas anaknya maut digilis lori dalam kejadian awal pagi tadi di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, baru-baru ini.Foto IHSAN PERHILITAN.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa berkaitan segera menghentikan aktiviti pemusnahan hutan atas nama pembangunan, demi menjamin kelangsungan habitat hidupan liar di negara ini.

Menurut Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadeer, penggondolan kawasan hutan untuk projek pembangunan bukan sahaja menyebabkan gangguan terhadap biodiversiti, malah telah menyumbang kepada peningkatan kes kematian haiwan di jalan raya serta konflik antara manusia dan haiwan liar.

Katanya, walaupun pembangunan ekonomi penting bagi negara membangun seperti Malaysia, ia tidak sepatutnya dijalankan secara rakus hingga mengancam kepupusan spesies tertentu.

“Tindakan yang menjejaskan habitat semula jadi dianggap bertentangan dengan tanggungjawab moral manusia untuk melindungi kehidupan lain yang turut berhak untuk wujud.

“Sebaliknya kerajaan perlu memperluas kawasan perlindungan seperti taman negara dan hutan simpan kekal, selain melaksanakan usaha pemulihan semula kawasan yang telah terjejas.

“Penubuhan koridor ekologi seperti jejambat, terowong dan jambatan khas haiwan disaran dilaksana segera bagi membolehkan spesies liar melintasi kawasan pembangunan dan jalan raya dengan selamat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohideen Abdul Kadeer

Mengulas lanjut, Mohideen menyifatkan manual pengurusan konflik manusia-hidupan liar sedia ada oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak mencukupi kerana hanya fokus kepada pengurangan konflik dan bukannya punca sebenar seperti perubahan guna tanah dan iklim.

“Kejadian tragik melibatkan seekor anak gajah yang mati dilanggar di Lebuhraya Timur-Barat Gerik-Jeli baru-baru ini membuktikan betapa seriusnya ancaman kematian di jalan raya.

“Justeru kita cadangkan agar kerajaan mengiktiraf serta mengintegrasikan pengetahuan ekologi tradisional (TEK) masyarakat orang asli dan komuniti luar bandar dalam pengurusan konflik tersebut.

“TEK yang menggabungkan kefahaman tentang hubungan antara manusia, haiwan dan persekitaran, mampu menyumbang kepada pendekatan lebih holistik dan sesuai secara budaya,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan melibatkan komuniti setempat termasuk kaedah pencegahan tanpa keganasan dan pampasan adil kepada mereka yang terjejas perlu diberi perhatian agar wujud keseimbangan antara kehidupan manusia dan hidupan liar.

“Dalam masa sama, pendidikan berkaitan hidupan liar juga dicadang dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah dan latihan pemandu bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap risiko kematian haiwan di jalan raya.

“Kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan dasar dan infrastruktur secara menyeluruh, termasuk memastikan perancangan guna tanah masa hadapan mengutamakan kelestarian koridor biodiversiti negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here