Gambar hiasan

Oleh: Dr. Mohd Khairul Naim Che Nordin

HARI ini, setiap individu yang memiliki akses internet umumnya akan turut memiliki akaun media sosial. Apa daya tarik yang ada pada media sosial sehingga kita begitu tertarik menggunakannya? Jawapannya kembali pada fungsi media sosial itu sendiri yang membolehkan kita semua berhubung, berkongsi cerita, idea, minat dan maklumat dengan mudah. Dengan kata lain media sosial menjadi sebahagian daripada hidup harian kita.

Media sosial memberi peluang dan ruang untuk kita merasa dekat dengan orang lain walaupun secara maya. Kita boleh masuk dalam komuniti yang memiliki minat yang sama, turut serta dalam kumpulan ang berkongsi topik-topik kegemaran dan bersembang dengan pengguna lain walaupun tidak pernah berjumpa secara berdepan. Media sosial juga memenuhi keperluan sosial kita seperti rasa diterima dan dihargai.

Bila kita mendapat ‘like’ atau komen daripada orang lain, ia membuatkan kita rasa dihargai. Perasaan ini adalah ganjaran kecil yang menjadikan kita rasa seronok dan ingin terus berkongsi. Lebih ramai yang memberi perhatian, maka kita rasa lebih bersemangat untuk terus aktif di media sosial. Ini menjadikan perkongsian di media sosial bukan sekadar untuk simpanan peribadi, tetapi juga sebagai usaha untuk membina naratif identiti dan mendapatkan pengesahan sosial.

Kehidupan di era digital terbukti mengubah gaya hidup kita. Namun, seperti juga setiap teknologi yang ada, media sosial turut memberi banyak kesan, antaranya pada diri kita sendiri. Kini lahir pelbagai istilah yang digunakan dalam bidang psikologi dan sosiologi bagi menggambarkan beberapa gejala utama yang timbul akibat kebergantungan kepada media sosial.

Antaranya ialah:

1. Doomscrolling: gejala ini merujuk kepada tabiat melayari kandungan negatif di media sosial secara berterusan terutamanya pada waktu malam. Kita tidak akan berhenti menatal (scroll) telefon walaupun kandungan tersebut menimbulkan keresahan atau kemurungan. Gejala ini berlaku akibat rasa ingin tahu (yang umumnya tidak diperlukan) dan gagal untuk memutuskan sambungan daripada informasi yang membebankan emosi.

2. FoMO (Fear of Missing Out): ia merupakan ketakutan bahawa kita sedang tertinggal pengalaman yang menyeronokkan atau penting yang sedang dialami oleh orang lain. FoMO tercetus apabila media sosial memaparkan kehidupan ‘sempurna’ rakan-rakan atau selebriti. Ini menyebabkan kita merasa tidak cukup dengan apa yang sedia ada dan rasa tercicir atau tertinggal daripada kehidupan sosial jika tidak mengetahui dan mengalami apa yang berlaku.

3. FoBO (Fear of Better Options): ia adalah keraguan berpanjangan dalam membuat keputusan kerana bimbang terdapat pilihan yang lebih baik. Ini boleh dilihat ketika kita sukar memilih apa yang ingin ditonton, beli, atau bahkan siapa yang ingin dikenali. Ini berlaku kerana terlalu banyak pilihan yang tersedia.

4. Compare and Despair: Fenomena ini yang juga boleh dikaitkan dengan Instagram Envy adalah merujuk kepada kecenderungan kita membandingkan diri dengan orang lain secara berlebihan. Ia tercetus melalui perkongsian orang lain berkenaan gambar pergi melancong, mencapai kejayaan akademik dan menunjukkan gaya hidup mewah. Apabila melihat perkongsian ini, kita merasakan inilah gambaran kejayaan dan kebahagiaan sebenar sehingga apabila dibandingkan pula dengan diri, kita merasa rendah diri, tidak puas hati dan murung. Kita mungkin merasa gagal mencapai standard kehidupan yang ditampilkan oleh orang lain.

5. Social Media Fatigue: Keletihan media sosial berlaku apabila kita merasa letih pada mental dan emosi kerana penggunaan gajet yang berpanjangan. Walaupun kita ingin berehat daripada melayari media sosial, namun kita berasa sukar untuk berhenti. Antara faktornya adalah kerana takut ketinggalan berita atau interaksi sosial.

6. Phantom Vibration Syndrome: Sindrom ini merujuk kepada perasaan seolah-olah telefon kita bergetar atau berbunyi walaupun tiada notifikasi yang diterima. Ia adalah satu bentuk ilusi yang mencerminkan kebergantungan tinggi terhadap telefon dan dalam masa yang sama keterikatan psikologi kepada notifikasi digital. Jika mahu mengukur sejauh mana keterikatan kita pada gajet, maka sindrom ini boleh dijadikan rujukan.

7. Digital Narcissism: Narsistik ialah sikap seseorang yang terlalu mementingkan diri sendiri, suka menjadi pusat perhatian, dan merasa diri lebih istimewa atau hebat daripada orang lain. Gejala ini merujuk kepada kecenderungan kita untuk mencari pengesahan diri melalui jumlah likes, shares; dan komen di media sosial. Antara contoh gejala ini ialah suka muat naik gambar sendiri berulang kali hanya untuk meraih ‘like’ atau pujian dan cepat marah atau tersinggung jika tidak mendapat perhatian yang diharapkan. Akhirnya, nilai diri bergantung sepenuhnya kepada reaksi digital orang lain.

8. Echo Chamber Effect: ‘Kesan gema’ berlaku apabila kita sentiasa melihat atau membaca pandangan yang sama dengan apa yang kita sendiri percaya. Ia dinamakan gelembung maklumat. Ini berlaku kerana algoritma media sosial akan hanya menunjukkan kandungan yang selari dengan minat dan kepercayaan kita (berdasarkan interaksi dan kesan jejak digital kita di media sosial). Akibatnya, kita jarang didedahkan dengan pandangan berbeza dan mudah terperangkap dalam cara fikir yang sempit.

9. Oversharing: ini berlaku apabila kita berkongsi terlalu banyak maklumat peribadi di media sosial tanpa menyedari kesan jangka panjang terhadap keselamatan dan privasi diri. Ini berpunca daripada keinginan untuk mendapatkan perhatian atau terbiasa dengan pendedahan diri yang berlebihan.

10. TikTok Brain: Istilah ini merujuk kepada kesan ke atas otak akibat terlalu kerap menonton video pendek dan laju seperti di TikTok. Akibatnya, kita menjadi sukar untuk memberi tumpuan yang lama terhadap sesuatu aktiviti, cepat bosan dengan kandungan yang panjang, dan susah fokus semasa belajar atau bekerja.

Kita mungkin telah mengalami beberapa gejala di atas. Apa yang penting tanda-tanda itu telah dapat kita kenal pasti pada diri. Maka langkah seterusnya ialah pencegahan yang berkesan. Detoks digital antara usaha yang boleh kita lakukan.

Berehatlah seketika daripada menggunakan telefon dan media sosial agar minda boleh kembali tenang. Langkah kedua ialah seimbangkan penggunaan teknologi. Kita tetapkan masa tertentu untuk membuka media sosial, elak dari menggunakan gajet sebelum tidur dan luangkan masa untuk aktiviti tanpa skrin seperti membaca, bersenam atau bersembang secara langsung.

Cabaran besar adalah pada anak muda dan remaja yang membesar ketika era digital ini telah sedia berkembang. Bagi orang dewasa, mungkin mereka boleh membezakan keadaan hidup sebelum media sosial berkembang dengan apa yang berlaku kini. Namun bagi yang sedang membesar, gejala di atas mungkin dianggap sebagai suatu yang normal dan menjadi sebahagian dari pengalaman diri. Maka dalam konteks ini, kemahiran literasi digital perlu diterapkan dalam sistem pendidikan di setiap peringkat.

 

Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here