ventilator
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan siasatan telus bagi mengenal pasti punca sebenar insiden seorang bayi yang mengalami demam panas diserang sawan kerana tidak mendapat rawatan di Hospital Melaka meskipun sudah menunggu 11 jam, baru-baru ini.

Kementerian itu dalam kenyataannya malam ini menegaskan, ia memandang serius perkara tersebut dan akan mengenal pasti punca sebenar serta mengambil langkah penyelesaian tuntas agar insiden sedemikian tidak lagi berulang.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada laporan berita portal Malaysia Gazette bertajuk “Budak Diserang Sawan Akibat Hospital Melaka ‘Sidai’ Anak Demam Panas Sehingga 11 Jam” bertarikh 12 Mei 2025.

“Menurut sumber Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, berdasarkan rekod rawatan, pesakit telah didaftar masuk ke Hospital Melaka pada jam 4.07 petang, hari Sabtu, 10 Mei 2025 setelah mengalami demam selama dua hari.

“Pesakit yang merupakan kanak-kanak perempuan berusia 22 bulan telah menerima rawatan awal di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

“Keadaan pesakit pada ketika itu adalah stabil dengan suhu 37.7oC dan telah dirancang untuk dimasukkan ke wad. Namun begitu, kemasukan tertangguh disebabkan oleh jumlah pesakit yang tinggi pada ketika itu.

“Pesakit telah mengalami sawan ketika menunggu giliran ke wad tetapi telah berjaya distabilkan setelah mendapat rawatan kecemasan. Pesakit dimasukkan ke wad pada jam 1.40 pagi, hari Ahad, 11 Mei 2025 dan telah selamat discaj pada jam 5.00 petang, hari Isnin ,12 Mei 2025,” kata kenyataan itu.

Pada 12 Mei lalu, MalaysiaGazette melaporkan, tular seorang bayi perempuan 22 bulan yang mengalami demam panas diserang sawan selepas didakwa gagal diberikan rawatan di sebuah hospital kerajaan meskipun sudah menunggu hampir 11 jam, Sabtu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/05/12/hospital-didakwa-sidai-bayi-demam-panas-selama-11-jam-hingga-sawan/

https://malaysiagazette.com/2025/05/12/saya-maafkan-hospital-melaka-tapi-tolonglah-perbaiki-keadaan-ibu-bayi/

Video berdurasi 13 minit memaparkan tangisan dan rintihan bayi berkenaan yang sedang menanggung kesakitan, tular di media sosial mengundang hiba warga net.

Ibu bayi berkenaan, Siti Aishah bt Rahim, 27, berkata, dia dan ibunya tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka pada jam 2.30 petang Sabtu lalu selepas badan anak sulungnya, Siti Farha Adelia Mohd Firdaus, 22 bulan tiba-tiba panas.

“Semasa tiba di hospital, jururawat cuma mengambil darah anak dan terus membiarkan bayi berusia 22 bulan saya sehingga suhu badannya meningkat pada tahap 38, 39 dan 40 darjah celcius.

“Puas saya tanya dan jawapan diberikan hanya meminta saya tunggu sehinggalah bayi saya diserang sawan pada pukul 1 pagi semalam (Ahad) menyebabkan badannnya kejang,” katanya menerusi status Facebook bersama video tular berkenaan. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here