KOTA BHARU – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki cuba menyeludup 675 liter petrol bersubsidi, dalam satu operasi khas dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan, semalam.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, suspek ditahan pada 6.45 pagi di bahu jalan di atas sebuah jejambat laluan menghala ke Pasir Pekan, Tumpat.
“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan jenis Proton Wira Sedan bernombor pendaftaran tempatan yang dipandu suspek, menemukan beberapa tong berisi petrol bernilai RM1,383.75.
“Jumlah nilai rampasan keseluruhan, termasuk kenderaan tersebut, dianggarkan sebanyak RM6,383.75,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
Azman berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan minyak bersubsidi di negeri itu. – Bernama