KUANTAN– Seorang lelaki warga Vietnam yang dipercayai jatuh ke laut telah berjaya diselamatkan oleh kapal dagang MV Maersk Norberg di perairan Laut China Selatan, kira-kira 205 batu nautika Timur Laut Kuantan semalam.
Mangsa, Le Truong Giang, 38, kini dilaporkan stabil selepas diselamatkan oleh kru kapal terbabit.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui emel daripada MV Maersk Norberg sekitar pukul 10 malam.
“Kapal yang sedang dalam pelayaran menuju ke Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor telah mengambil keputusan untuk membawa mangsa ke pelabuhan tersebut bagi tujuan penyerahan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.
MRSC Johor Bahru telah dimaklumkan berhubung insiden berkenaan dan akan menjalankan tindakan serta koordinasi lanjut bersama pihak kapal. MV Maersk Norberg dijangka tiba di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 19 Mei 2025.
Mazlan dalam pada itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada MV Maersk Norberg atas tindakan pantas menyelamatkan nyawa mangsa.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau MERS 999. – MalaysiaGazette