KUANTAN – Sebuah Jurutera IT terselamat selepas berjaya keluar daripada kereta mewah jenis Ferrari 458 Spider dipandunya yang terlibat kemalangan di kilometer 110 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Jambatan Kampung Gadak, Muadzam Shah pagi tadi.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang merupakan warganegara Singapura dan teman wanita warganegara Hong Kong tidak mengalami sebarang kecedaraan.
Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi kejadian tersebut dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.40 pagi.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati, mangsa dan teman wanitanya dalam perjalanan dari Singapura hendak ke Cherating, Kuantan untuk melancong bersama rakan-rakan lain dalam konvoi 13 buah kereta Ferrari pelbagai model.
“Bagaimanapun, apabila sampai di lokasi terbabit, kereta mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan,” katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan tersebut, Sharif berkata, kereta mewah itu terbakar sehingga musnah sepenuhnya.
“Mangsa telah disaman di bawah Peraturan 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan,” tambah Sharif.
Beliau berkata, pihaknya menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa memandu dan mematuhi peraturan jalan raya. – MalaysiaGazette