Syarikat reNIKOLA Holdings Sdn Bhd yang diwakili oleh (dua dari kiri) Pengarah Urusan, Boumhidi Abdelali telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Sumitomo Corporation yang diwakili oleh Ketua Unit Penyelesaian Tenaga Indonesia No. 2, Takeshi Muramatsu untuk pembangunan projek-projek tenaga bio.

KUALA LUMPUR – Kerjasama strategik Malaysia dan Jepun dalam bidang bioekonomi hijau terus diperkukuh dengan termeterainya tiga perjanjian bernilai keseluruhan RM1.34 bilion sempena Ekspo 2025 Osaka.

Perjanjian itu menandakan satu pencapaian bersejarah dalam usaha kedua-dua negara memacu agenda ekonomi rendah karbon berasaskan bio sejajar dengan komitmen global terhadap kelestarian alam sekitar.

Malaysia diwakili oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation),  agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang telah memainkan peranan penting dalam memacu usaha tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, pemilihan Jepun sebagai rakan strategik Malaysia dalam bidang inovasi dan teknologi menggariskan keupayaan kerjasama antarabangsa untuk melonjakkan pembangunan ekonomi hijau dan menangani cabaran iklim global.

“Malaysia berbangga menampilkan potensi bioekonomi negara kepada pasaran global menerusi kerjasama strategik seperti ini.

“Di samping memanfaatkan kepakaran Jepun dalam inovasi hijau, syarikat berstatus BioNexus serta peserta program Bio-based Accelerator (BBA) mampu menjadi pemangkin.

“Terutama  kepada transformasi tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan dan produk berasaskan bio. Usaha bersama ini bukan sahaja mencipta nilai ekonomi malah menyumbang kepada masa depan rendah karbon yang lebih lestari di peringkat serantau dan global,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Majlis memeteraikan perjanjian diadakan sempena pelancaran Minggu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Osaka, Jepun baru-baru ini.

Syarikat tenaga bio di bawah program Bio-based Accelerator (BBA), MTC OREC Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Zahari Mohamad (tiga dari kiri) telah memeterai kerjasama dengan IHI Plant Services Corporation dari Jepun yang diwakili oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Mr. Ryoji Aoki bagi pembangunan teknologi biogas di Asia Tenggara.

Ia melibatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta pengkomersialan produk bioteknologi mampan yang selari dengan aspirasi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan matlamat kelestarian global.

Perjanjian pertama melibatkan reNIKOLA Holdings Sdn Bhd dan Sumitomo Corporation (Jepun) yang menjalin potensi usaha sama dalam pembangunan bahan api boleh diperbaharui seperti biometana serta derivatif karbon rendah termasuk biometana cecair (LBM) dan biometanol menerusi penukaran sisa pengeluaran minyak sawit.

MTC Orec Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat tenaga bio di bawah program Bio-based Accelerator (BBA) dan IHI Plant Services Corporation (Jepun) pula menandatangani kerjasama strategik bagi pembangunan teknologi biogas di Asia Tenggara.

Sementara itu, syarikat berstatus BioNexus, Glyken Bio Products Sdn Bhd dan Respect Co., Ltd. (Jepun)  telah menandatangani MoU dan kontrak pembekalan bagi pengedaran produk berasaskan glikopeptida sarang burung  keluaran Glyken ke pasaran Jepun.

Mohd Khairul Fidzal menambah,  kerjasama tersebut turut mencerminkan keserasian antara komitmen Malaysia terhadap inovasi mampan dan tema Ekspo 2025 Osaka, “Designing Future Society for Our Lives”.

“Ia bukan sekadar mendorong akses pasaran dan pemindahan teknologi, malah membuka ruang kepada pembangunan penyelesaian kolektif bagi isu perubahan iklim, keselamatan tenaga dan ketahanan ekonomi.

“Bioeconomy Corporation komited untuk terus memperkukuh kerjasama antarabangsa, memperluas ekosistem inovasi dan meneroka peluang di peringkat global bagi membimbing syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa dalam usaha menyokong agenda bioekonomi yang inklusif dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pavilion Malaysia, Ellyza Mastura Ahmad Hanipiah berkata, pihaknya berbangga menjadi tunjang kepada usaha berterusan MOSTI dalam memperkukuh kerjasama global serta memacu pelaburan berkualiti ke dalam negara. Berpegang kepada komitmen untuk memupuk kerjasama berterusan, Pavilion akan terus menyokong inisiatif demi mengukuhkan peluang ekonomi dan hubungan antarabangsa.

“Selaras dengan sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya RM13 bilion potensi perdagangan dan pelaburan serta menarik 1.5 juta pengunjung, kami terus komited menjadikan Expo 2025 Osaka, Kansai sebagai pentas utama bagi inovasi, pertumbuhan mampan dan keterlibatan global,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas, Eric Shak (tiga dari kiri) yang mewakili Glyken Bio Products Sdn Bhd (Glyken) telah menandatangani Memorandum Persefahaman dan kontrak pembekalan dengan Respect Co., Ltd. dari Jepun yang diwakili oleh (keempat dari kanan)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here