KUALA LUMPUR – Malaysia perlu menghentikan kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarimat (AS) dengan memperluaskan penggunaan ringgit atau mata wang ketiga dalam urusan perdagangan.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, ini kerana nilai ringgit mengalami penyusutan ketara berbanding dolar AS.
“Jika semua urus niaga terus dilakukan dalam dolar, ringgit akan terus menghadapi cabaran besar,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berharap Malaysia yang menjadi Pengerusi ASEAN kali ini tidak melepaskan peluang untuk
meneroka dan menggalakkan penggunaan mata wang selain dolar AS dalam perdagangan secara berperingkat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang tersebut.
Katanya, ekonomi global kini mengalami ketidaktentuan akibat dasar tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS.
Justeru katanya, kerjasama dalam kalangan negara ASEAN perlu diperkukuh.
“Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung di negara kita pada 26 dan 27 Mei merupakan platform terbaik untuk membincangkan isu ini. Kedudukan dolar sebagai mata wang antarabangsa tidak seharusnya lagi dianggap sebagai sesuatu yang ‘semestinya’, dan struktur ini perlu dikaji semula serta diubah.
“Sejak sekian lama, dolar dianggap sebagai mata wang rizab global, dengan banyak negara menggunakannya dalam rizab mata wang asing dan perdagangan antarabangsa.
“Namun, ketidaktentuan dalam perdagangan global dan kejadian geopolitik lain telah menunjukkan kelemahan akibat terlalu bergantung kepada dolar. Jika ekonomi Amerika Syarikat atau nilai dolar terganggu, negara-negara lain turut akan terkesan,” katanya.
Selain itu, beliau memberitahu, jumlah dagangan dua hala antara China dan ASEAN pada tahun lalu mencecah AS$982.3 bilion (RM4.2239 trilion).
Menurut Dominic, kedua-dua pihak telah menjadi rakan dagang terbesar antara satu sama lain selama lima tahun berturut-turut.
Sehubungan itu ujarnya, sebagai rakan dagang terbesar ASEAN, selain menggunakan mata wang masing-masing dalam perdagangan, penggunaan mata wang China iaitu Renminbi (RMB) merupakan pilihan yang baik.
“Walaupun tiada data khusus yang boleh merumuskan secara tepat kadar penggunaan RMB dalam kalangan negara ASEAN, namun kadar penyelesaian perdagangan menggunakan RMB menunjukkan trend peningkatan yang ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Negara kita juga, sejak tahun 2009, telah mula menggunakan RMB dan ringgit dalam urusan perdagangan dan pelaburan dengan China bagi mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS,” tambahnya.
Beliau yang memetik data Persatuan Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Sedunia menyatakan sebelum 2018, RMB hanya merangkumi 1.7 peratus daripada pembayaran antarabangsa.
Namun menjelang Februari 2025, jumlah itu meningkat kepada 4.33 peratus menjadikan RMB kekal sebagai mata wang keempat paling aktif di dunia. – MalaysiaGazette