Wong Siew Mun

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA Pahang sedia melangkah ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama DAP bagi membantu siasatan sepenuhnya ke atas projek MyKiosk bernilai RM250 juta.

Kesediaan itu dibuat oleh ketua pemudanya, Wong Siew Mun selepas DAP mendakwa MCA ‘sengaja lupa’ berhubung isu MyKiosk.

Mempertahankan isu yang dibawa oleh MCA, Siew Mun mempersoalkan siapakah yang menetapkan spesifikasi piawai kebangsaan bagi projek berkenaan.

Tambahnya, mengapa kerajaan membayar sebanyak RM25,000 hingga RM34,000 sedangkan harga pasaran hanya RM12,800 bagi seunit kiosk.

“Jika semua tender PBT menggunakan spesifikasi sama, mengapa terdapat perbezaan harga yang ketara? Adakah kerajaan pusat meluluskan peruntukan tanpa membuat semakan?

“Kerajaan mengumumkan terdapat ratusan kontraktor terlibat di manakah senarai penuh mereka?

“Menteri mendakwa 80% gerai telah disewa — adakah senarai penyewa didedahkan? Mengapa berlaku sublet atau sewaan pihak ketiga?

“Ramai peniaga mengadu masalah kebocoran dan tenaga solar cepat habis — adakah benar ianya bertaraf “Tesla” seperti yang dicanangkan?,” soalnya lagi.

Siew Mun berkata, MCA mempunyai wakil sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan di beberapa negeri, justeru pihaknya terpanggil untuk bersuara dan tidak membenarkan sebarang penyelewengan berlaku.

Tegasnya, MCA tidak pernah lari daripada tanggungjawab dan mencabar jika terbukti mana-mana ahli majlis parti itu terlibat dalam sebarang salah laku, individu berkenaan perlu dipertanggungjawabkan tanpa kompromi.

“Namun apa yang lebih membimbangkan ialah sikap DAP yang tidak menjawab persoalan, sebaliknya cuba mengalihkan perhatian dan menekan suara pemantau. Ini bukan sikap sebuah parti kerajaan yang bertanggungjawab, tetapi taktik untuk lepas tangan.

“Negara kita tidak kekurangan ‘pengangguk’, sebaliknya kita memerlukan ‘pemantau yang berani’. Jika DAP begitu yakin MCA terlibat, kami dengan ini secara rasmi menjemput DAP membawa segala bukti dan saksi, mari bersama kami ke SPRM untuk membuat laporan.

“Jika ada isu, siasatlah. Jika terlibat, pikullah tanggungjawab. Ada berani, DAP?,” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here