KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar wajar menyahut cabaran debat dengan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada hujung bulan ini.
Pemerhati politik yang juga aktivis PKR, Fairul al-Qasas berkata, debat sudah lama menjadi budaya dalam PKR malah ketika menjadi pembangkang, pemimpin PKR juga sering mencabar pihak lawan berdebat dalam pelbagai isu.
Apatah lagi, ujar beliau, Nurul Izzah sebelum ini juga pernah mencabar bekas Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk berdebat pada 2013 berhubung dakwaan beliau lebih suka mengkritik berbanding berkhidmat untuk rakyat.

“Jadi, jangan beri alasan dalam pemilihan parti tidak perlu berdebat.
“Sebab sebelum-sebelum ini dalam pemilihan Keadilan, kita juga ada debat dalam kalangan pemimpin yang bertanding seperti antara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan Rafizi dan antara calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 2022.
“Maka Nurul Izzah perlu sahut cabaran debat ini dan buktikan cara debat berhemah dan damai yang beliau laungkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Lebih daripada itu, tambah Fairul, debat itu juga perlu disahut Nurul Izzah supaya para perwakilan dapat menilai dasar-dasar beliau serta Rafizi terhadap parti sekiranya berjaya memenangi jawatan Timbalan Presiden.
“Tak kisahlah namanya debat, wacana atau forum, Nurul Izzah dan Rafizi perlu dipertemukan dan menyatakan dasar masing-masing,” katanya yang juga bekas Ketua Penerangan Cabang PKR Kuala Krau.
Rafizi sebelum ini dilaporkan bersedia berdebat Nurul Izzah dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR hujung bulan ini bagi meredakan suhu panas dalam kalangan penyokong mereka ketika ini.
Bagaimanapun, Nurul Izzah menyifatkan keutamaan beliau ketika ini bukan kepada aktiviti yang boleh memburukkan lagi pertikaian dalaman PKR.
Terdahulu, Naib Ketua Pemuda PKR, Prasanth Kumar Brakasam mencadangkan debat umum antara dua calon Timbalan Presiden itu bagi membentangkan idea, strategi dan visi mereka dalam memperkukuh parti, Kerajaan Perpaduan serta PH. – MalaysiaGazette