KUANTAN – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mengingatkan semua individu terpilih sebagai pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Sesi 2/2025 agar melapor diri di kem PLKN pada atau sebelum 16 Mei ini seperti ditetapkan mengikut surat panggilan rasmi.
Menerusi kenyataan, JLKN juga menegaskan kehadiran pelatih yang terpilih diwajibkan.
“Kegagalan untuk melapor diri tanpa alasan yang munasabah atau tanpa pembuktian masalah kesihatan yang disahkan oleh pakar perubatan akan dianggap sebagai ingkar arahan.
“Mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah peruntukan sedia ada Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.
Sebarang usaha oleh pihak lain untuk menghasut atau memujuk mana-mana pelatih agar tidak hadir tanpa kebenaran juga merupakan suatu kesalahan yang serius mengikut Seksyen 19(2).
Susulan itu, JKLN menyeru semua yang terlibat memberikan kerjasama sepenuhnya demi kelancaran pelaksanaan program serta pembangunan jati diri generasi muda.
Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan boleh menghubungi talian rasmi Unit Pelatih, Bahagian Pengurusan Latihan JLKN di talian, 019-310 1090 (Mejar Muhammad Saufi Hasan), 019-333 2467 (Lt. Muhammad Farish Syahmi Zamri (TLDM) dan 014-234 5989 (Kapten Muhammad Hatta Mohd Khalid) atau layari laman web rasmi di https://jlkn.mod.gov.my. – MalaysiaGazette