KUALA LUMPUR – Seramai 30 orang pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam kini sedang menjalani latihan keusahawanan secara mingguan di tapak pasar malam Saujana Utama, Sungai Buloh setiap hari Rabu.
Program ‘Inkubator Keusahawan’ fakulti itu akan berlangsung sepanjang tahun ini anjuran Unit Keusahawanan MASMED Fakulti Perakaunan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan UiTM Selangor, Syed Zulkarnain Syed Idris berkata, program ini memberi ruang kepada pelajar untuk meneroka dunia keusahawanan secara langsung dan praktikal.
“Kami mahu pelajar faham teori sahaja tidak mencukupi dan kami mahu mereka belajar untuk menguruskan masa dan berkomunikasi secara berkesan.
“Paling penting, membina keyakinan diri dalam persekitaran sebenar perniagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Apabila berniaga di pasar malam, pelajar bertanggungjawab mengendalikan operasi harian perniagaan, menjual pelbagai jenis barangan termasuk makanan, minuman, dan produk buatan tangan.
“Latihan seperti ini secara tidak langsung membolehkan pelajar menguji kefahaman mereka terhadap konsep perniagaan dalam suasana sebenar yang tidak dapat ditiru di dalam kelas.
“Pendekatan experiential learning atau pembelajaran berasaskan pengalaman ini dilihat mampu meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran, terutama dalam bidang seperti perniagaan dan keusahawanan,” tambahnya.
Program ini telah mendapat respons positif daripada peserta dari segi peningkatan keyakinan diri, peniaga tempatan dan pengunjung pasar malam yang melihat kehadiran pelajar sebagai usaha memperkaya komuniti setempat dan memberi nilai tambah kepada suasana perniagaan sedia ada. – MalaysiaGazette