Sebuah kren tergelincir sebelum terbalik dan melintangi jalan di Jalan Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Sebuah kren dari tapak pembinaan di kawasan berbukit dilaporkan tergelincir sebelum terbalik dan menghalang laluan di Jalan Permatang Damar Laut berhampiran Kampung Seronok hari ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenderaan berada di laluan tersebut sewaktu kejadian berlaku.

Kejadian itu menyebabkan laluan dari arah Batu Maung ke Bayan Lepas ditutup sementara bagi semua kenderaan, sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut termasuk tumpahan minyak pada pukul 9.10 pagi.

Sebuah kren tergelincir sebelum terbalik dan melintangi jalan di Jalan Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.
Laluan di kawasan tersebut ditutup buat sementara waktu.

“Pasukan penyelamat digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat namun pemandu kren terbabit telah dibawa oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.

“Operasi pemantauan dan kerja-kerja pembersihan dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru yang diketuai Abdul Manap Kadir.

“Kerja-kerja pembersihan sisa tumpahan minyak sedang dilakukan pasukan penyelamat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. Proses mengalihkan kren terbabit turut dibantu oleh dua buah kren milik syarikat swasta,” katanya hari ini.

Tambah Sagun Francis, kren berkenaan dipercayai sedang melakukan kerja-kerja di tapak pembinaan sebuah kondominium di kawasan berbukit sebelum tergelincir dan melintangi jalan raya.

“Pihak bomba masih berada di lokasi untuk pemantauan lanjut dan memastikan keadaan kembali selamat sepenuhnya sebelum laluan dibuka semula,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here