IPOH – Pemandu lori membawa muatan batu yang terbabit dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Selasa, akan didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, lelaki berusia 45 tahun itu dijadualkan didakwa di mahkamah jam 9 pagi.
Tertuduh yang direman bermula Rabu akan dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah mengenai pemanduan secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian 8.51 pagi itu, lapan anggota FRU meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Nahas dilaporkan berpunca akibat kegagalan stereng lori yang membawa muatan batu tersebut. – MalaysiaGazette