PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam fasa akhir persiapan aspek keselamatan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung hujung bulan ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 7,227 anggota polis akan digerakkan bagi memastikan kelancaran acara, selain lebih 2,000 pegawai imigresen ditempatkan di pintu masuk utama seluruh negara.
“KDN diberikan mandat oleh Sekretariat ASEAN dengan kerjasama Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri untuk menguruskan dua aspek penting iaitu fasilitasi urusan imigresen dan operasi keselamatan sepanjang sidang kemuncak berlangsung.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan kelancaran proses keluar masuk, bukan hanya pemeriksaan dokumen seperti pasport dan dokumen perjalanan tetapi juga urusan bagasi. Ini akan menjadi penanda aras prestasi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan MajlisAnugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin lagi, antara pintu masuk yang dikenal pasti untuk menyambut ketibaan tetamu negara termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kompleks Bunga Raya serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang yang akan menerima ketibaan beberapa pesawat khas.
Katanya, bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM), pelbagai langkah kawalan trafik akan dilaksanakan bagi menguruskan pergerakan kenderaan rasmi dan delegasi asing, terutama dengan kehadiran pemimpin ASEAN, wakil Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Perdana Menteri China.
“Latihan simulasi akan dijalankan bermula 20 Mei. Sidang kemuncak secara rasmi bermula dengan ketibaan delegasi pada 20 Mei, manakala sesi berlangsung dari 26 hingga 28 Mei,” ujarnya.
Saifuddin turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi utama minggu lalu dan menerima taklimat lengkap berhubung persiapan termasuk aspek keselamatan. – MalaysaiGazette