MELAKA – “Waktu kejadian, saya sedang tidur di ruang tamu dan hanya tersedar apabila api sudah marak dari bilik ketiga rumah.
“Tanpa berlengah, saya membawa kesemua anak bersama lari keluar dan menyangka anak keempat (mangsa) juga ada bersama,”.
Itu luahan hiba diceritakan Siti Zaharah Borhan, 43, yang terselamat bersama empat anaknya yang lain berusia setahun hingga 13 tahun dalam kebakaran di tingkat enam pangsapuri perumahan rakyat (PPR) Krubong, di sini, petang tadi.
Kejadian itu bagaimanapun, menyebabkan anak keempatnya, lelaki berusia empat tahun meninggal dunia akibat melecur dalam insiden jam 2.20 petang itu.

Pasukan forensik polis membawa keluar mayat kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut dalam kebakaran rumah di tingkat enam pangsapuri perumahan rakyat (PPR) Krubong, Melaka, kira-kira jam 2.20 petang tadi.
Menurutnya, dalam keadaan kelam kabut, dia tidak menyangka mangsa yang sememangnya aktif tiada bersamanya di ruang tamu bersama empat anak yang lain.
“Biasanya, dia (mangsa) memang main dengan adik beradiknya yang lain cuma hari ini saya tak tahu dia bermain sendirian di bilik yang terbakar itu.
“Saya cuma terlelap sekejap di ruang tamu dan hendak bangun solat Zohor selepas ambil anak balik sekolah manakala suami keluar bekerja,” katanya menahan sebak. – MalaysiaGazette