Mahkamah Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas pengarah eksekutif syarikat pembuatan, Mak Siew Wei selepas beliau gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi 14 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan lebih RM39 juta.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, selepas dimaklumkan bahawa Siew Wei bukan sahaja gagal hadir ke mahkamah, malah tidak pernah melaporkan diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Mac lalu.

“Mahkamah telah meneliti permohonan dan saya bersetuju bahawa waran tangkap perlu dikeluarkan,” kata Mohd Nasir hari ini.

Siew Wei yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif AT Systematization Berhad (kini dikenali sebagai Erdasan Group), kali terakhir dilihat selepas dibebaskan dengan jaminan pada 5 Mac lalu setelah ditahan SPRM untuk siasatan.

Untuk makluman sepatutnya Siew Wei melaporkan diri semula kepada SPRM pada 7 April namun gagal berbuat demikian.

Chin How mendedahkan segala usaha telah dilakukan untuk menjejaki Siew Wei termasuk mengunjungi kediamannya di Damansara Perdana namun isterinya memaklumkan bahawa suaminya tidak pulang sejak awal Mac dan tiada laporan orang hilang difailkan.

“Ini memberi gambaran jelas bahawa tertuduh sedang bersembunyi untuk mengelak daripada didakwa. Malah, notis carian sudah dikeluarkan melalui media tetapi masih tiada maklum balas,” ujar Chin How.

Pada 13 April lalu, waran saman telah diserahkan kepada isterinya di kediaman mereka selepas SPRM gagal mengesan keberadaan Siew Wei namun apabila kes dipanggil hari ini, tertuduh masih tidak muncul di mahkamah.

“Dengan penyerahan saman kepada waris terdekat, kami telah mematuhi Seksyen 35(4) Kanun Tatacara Jenayah. Maka kami mohon waran tangkap dikeluarkan mengikut Seksyen 38,” ujarnya.

Difahamkan, SPRM akan membawa 14 pertuduhan CBT terhadap Siew Wei yang didakwa berlaku antara Jun 2020 hingga November 2021 ketika beliau memegang jawatan tertinggi dalam syarikat.

Kontroversi ini turut memberi kesan kepada reputasi syarikat apabila dagangan saham Erdasan Group digantung sementara pada 24 Mac selepas berita mengenai siasatan terhadap ahli perniagaan itu tersebar.

Beliau telah digantung secara rasmi dari jawatannya pada 11 Mac selepas mesyuarat khas lembaga pengarah, susulan pendedahan dalaman berkaitan transaksi mencurigakan melibatkan puluhan juta ringgit.

Dalam tindakan sivil berasingan, pihak syarikat turut memfailkan saman terhadap Siew Wei dengan mendakwa beliau menyeleweng dana sebanyak RM46.47 juta dengan menyalurkannya kepada pihak ketiga tanpa justifikasi kukuh.

Syarikat juga memohon agar mahkamah mengisytiharkan Siew Wei sebagai pemegang amanah konstruktif dan membenarkan aset beliau dijejaki bagi tujuan pemulangan dana. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here