Fuziah sertai Ops Gasak KPDN Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG JAYA – “Tiada maaf bagi mereka yang menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi untuk kegunaan industri,”  tegas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Jelas Fuziah Salleh, pihaknya tidak akan berkompromi dengan  mana-mana pihak industri yang dikesan menggunakan LPG bersubsidi tanpa kebenaran, khususnya membabitkan kegunaan domestik bagi tujuan komersial.

Beliau turut mengingatkan golongan  pemborong agar tidak mengambil jalan mudah dengan membekalkan LPG kepada pengusaha industri tanpa permit sebagai usaha mencapai matlamat operasi yang memperkasakan peruntukan sedia ada.

“Ini bukan perkara kecil, mereka adalah pengusaha industri dan mereka mesti patuh kepada segala peraturan serta garis panduan yang ditetapkan apabila ingin memulakan perniagaan.

Fuziah.

“LPG domestik bukan untuk kegunaan industri dan sekiranya mereka melanggar peraturan, mereka harus bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas operasi serbuan Ops Gasak 2025 di sebuah premis kontrak pembersihan tuala dan cadar hospital di sini, hari ini.

Dalam operasi berkenaan, KPDN Pulau Pinang berjaya mengesan syarikat terbabit membeli LPG industri tanpa sebarang permit sah, sekali gus melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan di bawah peruntukan semasa.

Selain operasi di Perai, dua lagi serbuan serentak turut dilaksanakan di lokasi berbeza sekitar negeri ini menjadikan tiga kes penyelewengan direkodkan dalam satu hari.

Secara keseluruhan, sebanyak 38 tong LPG pelbagai saiz seberat 1,300 kilogram dirampas kerana tidak memiliki permit sah.

Tambah Fuziah, sejak Ops Gasak bermula pada 1 Mei lalu, pihaknya telah melakukan 1,421 pemeriksaan di seluruh negara, yang membawa kepada 52 kes penyelewengan dengan nilai rampasan mencecah RM850,730.51.

“Bagi Pulau Pinang sahaja, 11 kes telah diambil tindakan setakat semalam.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah menyimpan LPG tanpa permit, menyalahgunakan permit, menggunakan LPG bersubsidi secara haram serta pemborong yang membekalkan LPG tidak mengikut permit ditetapkan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama Fuziah turut memaklumkan kementeriannya akan memperhebatkan sesi libat urus bersama pemain industri termasuk pengusaha dobi, yang menyatakan kebimbangan terhadap pelaksanaan operasi tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here