Tiga pengikut skinhead dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru sebelum ini untuk direman.

JOHOR BAHRU – Tiga pengikut skinhead yang merupakan suspek dalam kes pergaduhan membabitkan vokalis kumpulan muzik Sabtu lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya sudah mendapat arahan untuk berbuat demikian terhadap tiga daripada enam suspek yang ditahan bagi membantu siasatan dalam kes itu sebelum ini.

“Kertas siasatan kes telah dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya Negeri Johor (PPNJ) dan tindakan lanjut telah diambil. Hasil siasatan dan arahan pihak pendakwaan adalah tiga suspek utama akan dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru hari ini

“Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama kerana menyebabkan cedera secara bersama,” katanya menerusi kenyataan.

Raub berkata, tiga lagi suspek yang ditahan sebelum ini bagaimanapun dibebaskan.

“Suspek keempat, lima dan enam dibebaskan tanpa syarat selepas semakan lanjut terhadap pembabitan mereka dalam kejadian itu,” jelasnya.

Kelmarin media melaporkan polis menahan enam lelaki susulan kes pergaduhan dekat gimnasium sebuah pusat beli-belah di sini dalam dua serbuan yang dibuat pada Isnin dan Selasa.

Raub dilaporkan berkata, pada pukul 11.30 malam, Isnin lalu, tiga lelaki tempatan berusia 34 hingga 36 tahun ditahan di sekitar Johor Bahru dan Segamat, manakala, Selasa lalu, tiga lagi lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 40 tahun ditahan di sekitar dua daerah berkenaan.

“Kejadian berlaku ketika berlangsungnya satu program persembahan live band Remember 69 Rundown. Mangsa adalah vokalis kumpulan muzik dari Ampang, Selangor yang diserang beberapa orang lelaki menggunakan tong sampah besi yang mana punca kejadian dipercayai akibat salah faham lama yang berlaku antara suspek utama dengan mangsa ketika program muzik di Ampang pada tahun lalu,” lapornya.

Tiga suspek utama masing-masing mempunyai satu hingga tiga rekod jenayah lampau dan hanya seorang daripada mereka positif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing.

Mereka bertiga ditahan reman selama empat hari bermula kelmarin hingga esok bagi siasatan lanjut.

Tiga lagi suspek yang mana seorang daripadanya mempunyai satu rekod jenayah lampau dan seorang lagi positif ganja, direman empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini.

Pada masa sama, Raub menegaskan polis akan memberi komitmen penuh dalam membanteras insiden keganasan awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengganggu ketenteraman awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here