KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Confucius Institute (CI) buat julung kalinya telah menjadi tuan rumah bagi pertandingan Chinese Bridge
2025, satu inisiatif memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China menerusi pendidikan.
Pemangku Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Ouyang Huifeng berkata, pemilihan Sabah sebagai lokasi pertandingan mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia serta menjadi simbol pembelajaran dua hala yang merentasi sempadan geografi antara kedua-dua negara.
“Amat membanggakan apabila pelajar-pelajar dari Malaysia, khususnya dari Sabah, telah berulang kali cemerlang di pentas antarabangsa dalam pertandingan Chinese Bridge ini.
“Pencapaian ini mencerminkan kekuatan pemahaman antara budaya dan perkembangan bakat dalam penguasaan bahasa,” katanyan pada Majlis Penutupan Pertandingan Chinese Bridge 2025 di UMS, baru-baru ini.
Beliau turut menyeru kepada para pelajar agar membawa misi persahabatan Malaysia dan China ke hadapan bagi menggalakkan lebih ramai anak muda mempelajari bahasa Cina dan memahami budaya Cina demi memperkukuh hubungan dua hala pada masa hadapan.
Seramai 26 peserta dalam kalangan pelajar sekolah rendah menjadi peserta kepada pertandingan tersebut.
Pertandingan itu merupakan platform antarabangsa yang meraikan kebolehan pelajar menguasai bahasa dan budaya Cina serta menjadi jambatan yang menghubung
rakyat China dan masyarakat global.
Dalam pertandingan tersebut, Kirrtika A/P Muniandy dari SJKC Wah Keow dinobat sebagai johan pertandingan, manakala Clare Wilson dari SJK(C) Che Hwa merangkul
gelaran naib johan, dan Gladys Wong Qi En dari SJKC Su Kwong, Sarikei mendapat tempat ketiga.
Ouyang Huifeng menyampaikan hadiah kepada ketiga-tiga pemenang tersebut. – MalaysiaGazette