Meena menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung adiknya yang dipaksa menjadi scammer di Kemboja pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – “Saya tak mahu ada masalah dengan sesiapa. Saya cuma hendak adik saya balik”.

Itu rintihan seorang wanita Sabah, Meena, 30, yang  merayu agar adik perempuannya segera dibawa pulang ke negara ini selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan dipaksa bekerja sebagai scammer di Phnom Penh, Kemboja.

Menurut beliau, adiknya sebelum ini bekerja membaiki telefon di Bandar Bukit Tinggi, Klang telah dipujuk oleh seorang rakan perempuan dipercayai agen rekrut sindiket untuk melancong ke luar negara.

“Adik terbang pada 6 Februari lalu tapi lepas tiga hari, adik telefon beritahu dia bekerja. Saya tanya kawan dia, katanya mereka bercuti tapi sampai sekarang tak balik-balik.

“Bila saya telefon kawan dia, dia kata, adik saya ada hutang tapi tak pernah beritahu berapa,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.

Lebih mengejutkan, ejen yang membawa adiknya itu dikatakan mempunyai rekod pernah ditahan di Macau kerana terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian dan kini aktif sebagai perekrut sindiket di Malaysia.

Dalam keadaan terdesak, Meena hanya mampu berkomunikasi dengan adiknya melalui telefon dengan menggunakan bahasa Bajau, satu-satunya cara untuk mengelak daripada difahami oleh ahli sindiket yang sentiasa mengawasi perbualan.

“Adik saya cakap dia penat sangat, tak tidur, tak cukup makan. Dia nak balik tapi dia takut. Setiap kali kami bercakap, (ahli) sindiket ada di sebelah dia.

“Dia cuma mampu berikan bayangan lokasi dia berhampiran sebuah hospital bernama Bethune Cambodia China First Hospital di Phnom Penh,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, lokasi tersebut sebelum ini pernah diserbu polis hasil desakan pihak berkuasa Malaysia namun sindiket telah berpindah ke lokasi lain yang tidak jauh dari situ.

Mereka turut mendedahkan sindiket itu kini menggunakan teknologi canggih untuk mengelirukan lokasi sebenar mangsa, termasuk memanipulasi sistem lokasi dan menyekat akses kamera serta komunikasi bebas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here