SIBU – Seorang lelaki warga China mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Marutin Pagan pada 30 Mac lepas.

Pengakuan bersalah Sun Xue Song, 42, direkodkan semasa pengurusan kes di hadapan Majistret Oon Kork Chern.

Oon bagaimanapun menarik diri daripada mendengar kes itu atas alasan mempunyai hubungan peribadi dengan si mati dan demi mengekalkan kesaksamaan kehakiman.

“Sehubungan itu kes ini dijadualkan semula, untuk didengar di hadapan Tuan Rosli Ahmad, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” katanya.

Kes itu kini ditetapkan untuk pembentangan fakta dan hukuman pada 9.30 pagi 10 Jun ini, dan Sun diperintahkan untuk terus direman.

Sun pada mulanya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan semasa pertama kali dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Romario Jonoi pada 7 April lepas.

Warga China itu didakwa memandu kenderaan utiliti sukan secara berbahaya, menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa Marutin di bulatan Kanowit dekat Sibu kira-kira 1 tengah hari pada 30 Mac.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto, manakala tertuduh diwakili peguam Terence Tiong. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here