KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 34,615 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Kutip yang dilakukan agensi penguatkuasaan itu di seluruh negara termasuk pintu negara setakat 15 Mei lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, dari jumlah itu, seramai 15,422 warga asing ditahan di pintu negara ketika cuba keluar dan masuk ke negara ini.
“Setakat 15 Mei 2025, kita telah melaksanakan sebanyak 5,090 operasi penguatkuasaan. Seramai 67,574 orang telah diperiksa dalam operasi itu.
“Dari jumlah itu, seramai 1,886 orang merupakan pemegang kad UNHCR.
“Turut ditahan dalam operasi sama termasuk seramai 680 majikan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Op Kutip di sebuah kompleks beli-belah terkemuka di sini, hari ini.

Selain itu, Jafri juga mengisytiharkan 2025 sebagai tahun penguatkuasaan membanteras PATI menerusi Op Kutip yang dilakukan di seluruh negara hampir setiap hari.
“Nak banteras PATI dan untuk kita jadikan sifar memang tiada (sukar), tetapi dari segi tangkapan PATI memang meningkat berbanding operasi penguatkuasaan sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan warga tempatan agar tidak menyewakan premis perniagaan mereka kepada warga asing untuk membendung mereka daripada menjalankan aktiviti jual beli itu.
“Kita kena memastikan rakyat Malaysia yang memilik premis-premis perniagaan ini tidak menyewa atau membiarkan warga asing berniaga di premis mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette