Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melakukan gimik pelancaran Majlis Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025 di Cyberjaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 17 MEI 2025

CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi menyasarkan untuk melatih seramai 7,000 usahawan luar bandar khususnya wanita menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat Mac lalu, seramai 4,000 usahawan telah mendapat manfaat daripada inisiatif NADI itu dengan 3,390 atau 85 peratus daripada mereka merupakan golongan wanita.

Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan melengkapkan lebih ramai usahawan dalam talian dengan kemahiran bagi mengembangkan perniagaan mereka melalui platform e-dagang, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi tempatan dan memperkasakan komuniti.

“Kita melihat inisiatif NADI ini sangat berjaya yang mana usahawan memanfaatkan capaian internet yang pantas bukan hanya untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang tertentu, malah untuk meneroka pasaran baharu sehingga mampu menembusi peringkat antarabangsa.

“Sebagai contoh terdapat usahawan manik di Bau, Sarawak yang berjaya menjana pendapatan sehingga RM25,000 sebulan serta usahawan roti di Morib, Selangor yang memperoleh pendapatan RM40,000 sebulan.

“Jadi, kita mahu melihat tahun ini lebih ramai usahawan terutama dalam kalangan wanita terlibat dalam program kemahiran di NADI, sekali gus meningkatkan ekonomi rumah tangga mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas berucap merasmikan program World Telecommunication & Information Society Day (WTISD) 2025 di sini hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika melawat reruai yang disediakan pada Majlis Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025 di Cyberjaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 17 MEI 2025

Sementara itu, Fahmi berkata, di sebalik galakan supaya orang ramai mengambil peluang dan kelebihan yang dibawakan oleh teknologi, mereka juga mesti sentiasa berwaspada dan peka terhadap ancaman keselamatan dalam talian.

Jelas beliau, kemampuan membina persekitaran berasaskan teknologi yang selamat dan bertanggungjawab adalah kunci untuk membantu semua rakyat Malaysia maju dan memanfaatkan dunia yang saling berhubung pada masa kini.

“Di sinilah peranan MCMC dalam membina dan memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan berdaya tahan melalui usaha-usaha seperti membanteras ancaman siber, melindungi data peribadi dan mendidik pengguna, khususnya golongan yang paling terdedah.

“Salah satu inisiatif tersebut ialah ‘Kempen Internet Selamat’, yang meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan dalam talian dan menggalakkan penggunaan internet secara bertanggungjawab di semua lapisan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here