GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mewajibkan pengilang makanan menyatakan jumlah kandungan natrium pada label produk makanan, susulan peningkatan kes hipertensi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 mendapati seramai 29.2 peratus orang dewasa di negara ini menghidap hipertensi, iaitu hampir satu daripada tiga orang.
Menurut beliau, lebih membimbangkan apabila 11.9 peratus daripada mereka tidak menyedari mereka menghidap penyakit itu, dengan kadar tertinggi melibatkan golongan muda berusia antara 18 hingga 39 tahun.
“Peningkatan ini turut melibatkan individu semuda usia dua puluhan dan perubahan ini berpunca daripada gabungan pelbagai faktor seperti genetik, gaya hidup, pemakanan tidak sihat, merokok, pengambilan alkohol, kurang aktiviti fizikal dan tekanan berterusan.
“Tabiat pemakanan moden yang bergantung kepada makanan mudah dan diproses seperti makanan dalam tin, mi segera, snek masin dan roti komersial menyumbang kepada pengambilan natrium berlebihan.
“Sebagai contoh, satu paket mi segera mengandungi sekitar 2,000 miligram natrium, bersamaan had maksimum harian yang disarankan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Mohideen, natrium juga wujud dalam pelbagai bahan tambahan tersembunyi seperti monosodium glutamat (MSG), natrium sakarin, natrium fosfat, natrium kaseinat dan natrium nitrit, dengan lebih 40 jenis bahan tambahan berasaskan natrium dibenarkan dalam makanan diproses.
“Pengambilan natrium berlebihan bukan sahaja meningkatkan tekanan darah, malah dikaitkan dengan risiko kanser perut, kemerosotan fungsi buah pinggang, batu karang, asma serta osteoporosis.
“Sehubungan itu, CAP menggesa supaya iklan produk makanan tinggi natrium seperti mi segera dihentikan, di samping kempen kesedaran secara besar-besaran digerakkan bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta amalan membaca label maklumat pemakanan,” katanya. – MalaysiaGazette