KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif menyeru agar budaya menjaga alam sekitar diterapkan sejak usia muda bagi melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan dan kelestarian alam.
Beliau berkata, nilai murni seperti tidak membuang sampah merata-rata dan memelihara alam sekitar wajar dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.
“Kita mesti membudayakan aktiviti jangan membuang sampah ataupun pelihara alam sekitar pada usia lebih rendah dan muda,” katanya ketika merasmikan Program Plogging@Segambut di Auditorium Pejabat Cawangan Segambut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Taman Tun Dr. Ismail, di sini, hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Dalam pada itu, Dr. Maimunah menjelaskan, dengan membentuk tabiat baik sejak awal, rakyat tidak lagi perlu dipujuk atau diingatkan untuk menjaga alam sekitar apabila dewasa.
“Ini supaya apabila mereka sampai usia 17 tahun, berkahwin ataupun mempunyai keluarga, maka aktiviti memelihara alam sekitar tidak perlu lagi kita nak uar-uarkan sebab ia sudah jadi budaya,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menyeru orang ramai agar tidak bergantung kepada orang lain untuk memulakan langkah ke arah perubahan.
Malah katanya, perubahan perlu digerakkan oleh individu itu sendiri bagi memastikan alam sekitar dapat dijaga dengan baik untuk masa akan datang.
“Di sini saya ingin menyeru kepada semua jadi agen perubahan dan jangan tunggu orang lain mulakan dulu. Kita yang perlu jadi agen perubahan dan ianya bermula dari kita,” katanya.
Beliau mencadangkan aktiviti seperti plogging iaitu berjoging sambil mengutip sampah sebagai contoh amalan kecil yang memberi kesan besar kepada alam sekitar.
Program ini merupakan salah satu program signature DBKL bagi tahun 2025 yang akan dilaksanakan oleh Pejabat Cawangan DBKL di kesemua sebelas kawasan Parlimen di Kuala Lumpur.
Ia juga merupakan antara inisiatif penting DBKL sebagai tuan rumah ASEAN 2025, bagi memperkukuh imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang bersih, lestari dan berdaya huni di peringkat serantau.
Program hari ini telah berjaya menarik lebih 200 penyertaan daripada pelbagai latar belakang termasuk jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Landskap Negara, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Balai Polis dan Balai Bomba Taman Tun Dr. Ismail, SWCorp dan Alam Flora.
Turut serta ialah persatuan dan NGO seperti Friends of Bukit Kiara (FOBK), Majlis Perwakilan Penduduk, PEMADAM Segambut, Majlis Belia Segambut, pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta anak- anak masyarakat Orang Asli dari Asrama Darul Falah PERKIM (ASDAF). – MalaysiaGazette