Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan meneliti cadangan mengimport daging babi dari Thailand, Brazil dan China sebagai langkah untuk menangani isu kekurangan bekalan tempatan.

Cadangan itu disyorkan oleh Gabungan Persatuan Pedagang Daging Babi susulan penutupan beberapa ladang di Selangor baru-baru ini, berikutan penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF.

Selain mengakibatkan kerugian besar kepada penternak, ASF turut mengakibatkan peningkatan harga daging babi segar tempatan yang sangat tinggi yang memberi kesan kepada pengguna.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pada masa kini, Malaysia boleh terus mengimport daging babi dari banyak negara Eropah, Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom.

“Oleh itu, pengimport disarankan untuk segera mengimport daging babi dari negara-negara tersebut terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, pihak persatuan turut mencadangkan kawalan harga ke atas daging babi, justeru kementerian ini akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengkaji cadangan tersebut, memandangkan penetapan harga adalah di bawah peruntukan Akta 723, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Mohamad berkata, lazimnya kawalan harga babi hanya dilaksanakan ketika musim perayaan berikutan permintaan yang tinggi.

Sebagai pelan jangka panjang dalam menangani isu ASF, Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyeru semua pemain industri babi untuk mentransformasi ladang masing-masing kepada sistem Modern Pig Farming (MPF) yang terbukti bebas penyakit.

Dalam hal ini, KPKM mengalu-alukan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Perak, dan Sabah terhadap pelaksanaan MPF termasuk usaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Negeri Sembilan dengan pengezonan Pig Farming Area (PFA) khusus untuk industri babi di negeri tersebut.

MPF dan PFA merupakan konsep perladangan moden dengan penerapan sistem terkini yang mampu meningkatkan tahap biosekuriti ladang bagi mengurangkan risiko penularan penyakit.

Mengambil kira transformasi MPF memerlukan kos pelaburan yang agak tinggi, Mohamad berkata, KPKM bersedia untuk memudah cara proses transformasi tersebut bersama pihak-pihak berkepentingan dan satu sesi libat urus akan diadakan dalam masa terdekat.

“Adalah diharapkan dengan pelaksanaan langkah-langkah tersebut, isu bekalan babi akan kembali stabil demi untuk kepentingan pengguna dan penternak ke arah pencapaian kadar sara diri 90% daging babi tempatan menjelang tahun 2030,” tambahnya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here