Anggota Imigresen menahan warga asing yang diperiksa ketika Operasi Bersepadu di Pertama Complex, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Alasan berjalan-jalan di hujung minggu dan bercuti di negara ini antara helah yang digunakan kebanyakan warga asing sedangkan mereka dipercayai bekerja di premis perniagaan dalam sebuah pusat beli-belah terkenal di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, alasan itu kerap kali digunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelakkan daripada dicekup pihak berkuasa ketika pemeriksaan dalam Op Kutip sepanjang tahun.

“Kebanyakan mereka sebenarnya bekerja dalam premis-premis ini, apabila menyedari kehadiran pihak JIM, mereka melarikan diri.

“Malah mereka mendakwa tidak bekerja di sini, tetapi datang (pusat beli-belah) untuk jalan-jalan dan beli barang keperluan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Op Kutip di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha bercakap pada sidang media Operasi Bersepadu di Pertama Complex, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 MEI 2025

Terdahulu beliau bersama 106 pegawai pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat JIM, Putrajaya melakukan Op Kutip hampir tiga jam yang tamat jam 5 petang tadi.

Jafri berkata, dalam operasi penguatkuasaan hari ini, seramai 964 orang telah diperiksa termasuk 273 warga asing dan 691 warga tempatan dalam.

“Dari jumlah yang diperiksa ini, seramai 143 PATI termasuk 110 lelaki dan 33 perempuan berusia di antara 22 hingga 48 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

“Antara PATI yang ditahan merupakan warga Indonesia (56), Bangladesh (26), India (10), Myanmar (10), Nepal (3), Pakistan (32), Syria (4), China (1) dan  Afghanistan (1),” katanya.

Sebahagian warga asing wanita yang diperiksa ketika Operasi Bersepadu di Pertama Complex, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 MEI 2025

Menurut Jafri, kesemua PATI yang ditahan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan susulan.

Selain itu, katanya, semasa serbuan dan pemeriksaan dilakukan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dengan merempuh anggota operasi serta melakukan provokasi sebaik menyedari kehadiran mereka.

“Keadaan ini menyukarkan proses tangkapan, tambahan pula persekitaran yang sempit, tidak teratur serta kehadiran pelanggan sehingga melambatkan proses pemeriksaan.

“Malah anggota operasi terpaksa membuat pemeriksaan menyeluruh di dalam kawasan kompleks perniagaan tersebut,” katanya.

Anggota Imigresen menahan warga asing yang diperiksa ketika Operasi Bersepadu di Pertama Complex, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 MEI 2025

Tambahan itu katanya, ada dalam kalangan warga asing yang bersembunyi di dalam bilik persalinan, ruang tersorok bawah tangga, tandas dan bilik stor.

“Terdapat individu yang enggan membuka pintu dan menyembunyikan warga asing, terdapat juga yang menyorok dokumen penting hingga melambatkan proses pemeriksaan.

“⁠Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad tidak diiktiraf,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here