Nie Ching (depan tengah) merakam kenangan dalam Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) Negeri Johor 2025 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kempen Internet Selamat akan digerakkan secara lebih agresif susulan kes penipuan dalam talian babit pelaburan tidak wujud yang kini mencecah kerugian RM800 juta, sehingga bulan lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata, kempen itu termasuk di kawasan pedalaman selain sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Nie Ching berkata, isu berkenaan dipandang serius kementerian susulan membabitkan kerugian besar simpanan wang rakyat.

“Mengikut data Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat bulan lalu, kerugian yang direkodkan akibat penipuan dalam talian adalah sebanyak RM799 juta.

“Sebahagian besar penipuan dalam talian ini membabitkan kes pelaburan tak wujud dan isu ini amat serius.

“Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan melatih lebih banyak pelatih untuk menggerakkan Kempen Internet Selamat yang akan diperluas ke lebih banyak sekolah rendah, sekolah menengah, IPT serta di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) Negeri Johor 2025 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini, hari ini.

Sebelum ini, pelaksanaan Kempen Internet Selamat dilaporkan akan diadakan di lebih banyak sekolah rendah, sekolah jenis kebangsaan serta universiti awam di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Nie Ching dilaporkan berkata, setakat ini, kempen berkenaan telah berjaya dilaksanakan di sembilan buah sekolah rendah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kempen Internet Selamat perlu digerakkan secara lebih agresif untuk mendidik generasi muda terhadap persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan terkawal.

“Untuk sekolah rendah, Kempen Internet Selamat akan tertumpu kepada siber buli manakala pendekatan di sekolah menengah pula bagaimana melindungi privasi peribadi.

“Selain itu, di sekolah menengah dan IPT juga akan ditumpukan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) supaya ia tidak disalah guna termasuk bahaya ‘deepfake’.

“Untuk orang dewasa pula kita akan didik supaya tidak mudah percaya dan berwaspada terhadap skim cepat kaya serta pelaburan tidak wujud dalam talian,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here