Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha ketika sidang media di Hospital Teluk Intan, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 MEI 2025.

TELUK INTAN – Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kini menunjukkan perkembangan positif namun masih berada dalam keadaan kritikal.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dijangka menjalani dua lagi pembedahan dalam masa terdekat.

Menurutnya, mangsa mengalami pelbagai jenis kecederaan antaranya di bahagian paru-paru, hati, limpa serta turut melibatkan buah pinggang termasuk kecederaan tulang rusuk, kaki dan pinggul.

“Semasa pesakit dimasukkan ke HRPB dia telah menjalani tiga pembedahan pada peringkat awal. Kita lihat kemungkinan besar pesakit perlu melalui pelbagai jenis prosedur yang diperlukan.

“Bagaimanapun ketika saya melawat pesakit terbabit di ICU HRPB, semalam, doktor pakar yang merawat mengatakan bahawa pesakit menunjukkan perkembangan yang baik walaupun keadaan masih serius. Dia (Syed Isfan) sudah mula sedar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Hospital Teluk Intan (HTI) di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat dan Pengarah HTI, Dr Khairul Baharin Mohd Baharuddin.

Dalam perkembangan sama, Feisul Idzwan berkata, selain Syed Isfan, empat anggota lain yang masih dirawat di ICU HTI turut menunjukkan perkembangan baik.

Setakat ini daripada lima anggota masih dirawat di HTI, empat daripadanya berada di ICU iaitu Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; Koperal Mohd Izwan Ishak, 39 serta Sarjan Mohd Parih Ali, 41.

Sementara Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34 masih dirawat di wad pembedahan.

Koperal Nizam Tarmizi 38; Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, dan Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39, telah dibenarkan keluar dari HTI.

Dalam insiden pada kira-kira jam 8.50 pagi Selasa lalu itu, sebuah trak FRU membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam bertembung dengan sebuah lori yang sarat membawa batu di  kilometer (km) 15 Jalan Sungai Manik.

Lapan anggota maut di tempat kejadian sementara seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan manakala sembilan yang lain pula mengalami cedera.

Kenderaan FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas untuk perayaan Chitrapournami, sebelum dilanggar lori berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here