KUALA LUMPUR – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia selama empat hari bermula 13 Mei lalu, disifatkan satu kejayaan besar buat Malaysia khususnya dari sudut ekonomi dan politik antarabangsa.
Pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, lawatan itu berjaya menempatkan Malaysia sebagai antara negara berpengaruh khususnya kepada Rusia dan negara-negara di rantau terbabit.
Dalam masa sama, uajr beliau, Malaysia menerusi lawatan itu juga berhasil mendapatkan kepercayaan Rusia yang merupakan antara negara kuasa besar di dunia.
“Sebab kita lihat bagaimana sambutan yang diberikan kepada Anwar oleh kerajaan Rusia menerusi lawatan itu, malah Presiden Rusia, Vladimir Putin turut menyampaikan salam dan jemputan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk melawat Rusia.

“Jadi dari segi politik antarabangsa, situasi ini sangat baik dan memberi banyak kelebihan kepada Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Selain itu, tambah Salawati, lawatan ke Rusia itu juga membuka banyak peluang kerjasama buat Malaysia dengan negara tersebut dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.
Menurut beliau, Malaysia sebelum ini tidak berpeluang menerokai sepenuhnya kerjasama dengan Rusia dalam pelbagai bidang kerana terikat dengan sumber-sumber yang terhad termasuk akses kepada maklumat yang hanya disediakan oleh Barat berkenaan Rusia.
Bagaimanapun, katanya, menerusi lawatan secara langsung Anwar yang turut berpeluang bersemuka dengan Putin, Malaysia kini mempunyai akses yang lebih mudah untuk menjalin sebarang kerjasama dengan Rusia ke arah lonjakan ekonomi negara.
Apatah lagi, jelasnya, Malaysia juga sebelum ini sudah menyatakan kesediaan untuk bersama-sama dalam blok perdagangan dan ekonomi BRICS yang mana Rusia merupakan salah satu negara tonggak dalam kesepakatan tersebut.
“Menerusi lawatan ini, ia memudahkan lagi hasrat Malaysia untuk lebih diterima dan turut mendapat manfaat daripada blok ekonomi BRICS yang sudah semestinya akan memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, ditanya berkenaan kebimbangan sesetengah pihak terhadap tindak balas oleh Amerika Syarikat (AS) susulan lawatan Malaysia ke Rusia, Salawati berkata, ia tidak sepatutnya menjadi isu memandangkan dasar luar Malaysia yang bebas dan terbuka sudah sedia diterima masyarakat antarabangsa.
Malah, katanya, pendirian Malaysia yang kekal berkecuali dalam dasar luar juga tidak menghalang negara ini menjalin kerjasama dengan mana-mana negara termasuk AS sendiri.
Situasi itu juga, kata beliau, dapat dilihat ketika ini yang mana Malaysia sudah pun mengadakan perbincangan dengan AS berhubung isu tarif timbal balik yang dikenakan sebelum ini yang mana berkemungkinan memberikan hasil positif.
Sepanjang lawatan empat hari ke Rusia itu, Anwar turut menghadiri mesyuarat meja bulat bersama para pemimpin industri Persekutuan Rusia yang disertai sebanyak 24 syarikat utama di Rusia dan dua Majlis Perniagaan.
Kemuncak lawatan rasmi itu adalah pertemuan empat mata dengan Putin yang mana Anwar turut memohon sokongan peribadi Presiden Rusia berkenaan untuk melaksana dan mempercepat pelbagai projek termasuk kerjasama dalam bidang teknologi makanan, nuklear dan ketenteraan antara kedua-dua negara. – MalaysiaGazette