BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel membatalkan rancangan untuk menghadiri majlis pelantikan Pope Leo XIV di Vatican berikutan kebimbangan kemungkinan beliau ditahan menerusi waran yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), lapor Ynet.
Keputusan tersebut diambil susulan pertanyaan yang dikemukakan Israel kepada pegawai Vatican dan kerajaan Itali bagi menilai sama ada Benjamin Netanyahu boleh memasuki negara itu tanpa ditahan.
Bagaimanapun maklum balas daripada kedua-dua pihak dilaporkan samar-samar dan ia kekal tidak jelas sama ada mereka mungkin mematuhi waran ICC jika Netanyahu menjejak kaki di bumi Itali atau Vatican.
Berhadapan dengan ketidaktentuan berhubung kekebalan, Pejabat Perdana Menteri memutuskan untuk membatalkan lawatan itu bagi mengelakkan potensi ditahan atau dimalukan.
Waran tangkap ICC walaupun tidak disahkan secara umum oleh mahkamah, ia dijangka berkait dengan jenayah perang yang dilakukan tentera penceroboh Israel di Gaza dan kawasan Palestin lain.
Ia memberi tamparan hebat kepada Netanyuhu di pentas antarabangsa, ketika cabaran perundangan terus meningkat tatkala kemarahan global terhadap peperangan berterusan di Gaza dan gesaan kebertanggungjawaban daripada badan antarabangsa memuncak.
Sebelum ini, Israel secara rasmi memohon ICC menarik balik waran tangkap yang dikenakan kepada Netanyahu dan bekas Menteri Keselamatan, Yoav Gallant ketika mahkamah itu mengkaji semula bantahan Israel terhadap perundangan jenayah perang di Jalur Gaza.
Dokumen bertarikh 9 Mei dan ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya Am, Gilad Noam disiarkan di laman sesawang ICC pada Ahad lalu.
Mereka mendedahkan bahawa Israel juga memohon pihak pendakwaan menggantung siasatan kekejaman jenayah yang dilakukan di wilayah Palestin.
ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant pada 21 November lalu berikutan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dikaitkan dengan peperangan di Gaza.
Israel yang tidak mengiktiraf ICC secara konsisten menolak dakwaan jenayah perang di Gaza kini mencabar kesahihan perundangan terhadap waran yang dikeluarkan kepada pegawai kanannya itu. – Agensi