BATU PAHAT – Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah dianggarkan bernilai RM1.6 juta dadah selepas melakukan serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Mulia di sini pada 7 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Batu Pahat melancarkan serbuan itu pada pukul 7.45 malam.
“Serbuan tersebut telah menahan seorang lelaki tempatan yang berumur 33 tahun bersama-sama sejumlah rampasan dadah dianggarkan bernilai RM1,609,500.
“Dalam serbuan ini, pihak polis berjaya merampas serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 9465.40 gram bernilai RM1,586,500.
“Bahan disyaki dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 460.30 gram bernilai RM23,000. Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM1,609,500.
“Dadah yang dirampas dalam serbuan ini dianggarkan boleh digunakan seramai 47,000 penagih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak polis juga menyita seuah kereta dengan nilai RM40,000 dan wang tunai berjumlah RM5,000 manakala jumlah nilai sitaan adalah RM45,000.
Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan anggaran nilai rampasan dadah dan sitaan dalam serbuan itu adalah RM1,654,500.
Pihak polis katanya, melakukan ujian saringan awal air kencing dan mendapati suspek negatif daripada pengaruh dadah.
Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kes kesalahan jenayah atau dadah, katanya.
Shahrulanuar Mushaddat berkata, suspek beroperasi secara berseorangan dengan menjadikan tempat serbuan tersebut sebagai stor menyimpan dadah dan pembungkusan semula sebelum mengedarkan ke pasaran tempatan.
Tambahnya, suspek dipercayai mulai aktif mengedar dadah dipercayai sekitar April lalu.
Menurutnya, suspek yang direman selama 12 hari sebelum ini sudah dituduh di mahkamah di sini pada 16 Mei lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette