BAITULMAQDIS – Pentadbiran Presiden AmerIka Syarikat (AS), Donald Trump bercadang untuk menempatkan semula sejuta penduduk Palestin yang dikepung di Jalur Gaza ke Libya, menurut laporan NBC News.
Memetik sumber, termasuk dua individu yang diberi taklimat mengenai rancangan tersebut dan seorang bekas pegawai AS, laporan tersebut mendedahkan Washington telah berbincang dengan pemimpin Libya berhubung potensi pemindahan tersebut.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian, pentadbiran Trump menawarkan untuk menyerahkan aset Libya yang dibekukan sebelum ini yang berjumlah berbilion dolar jika Tripoli bersetuju untuk menerima penduduk Palestin.
Ketika perjanjian tidak dimuktamadkan, laporan tersebut membayangkan cadangan itu menandakan peningkatan usaha AS untuk mengurangkan jumlah penduduk Gaza di bawah penempatan semula bantuan kamanusian ketika penceroboh Israel giat menyerang wilayah Palestin.
Pada Khamis lalu, semasa melakukan lawatan ke Qatar, Trump mendedahkan rancangan kontroversi transformasi Gaza dalam ‘zon bebas’ yang dikuasai AS.
Cadangan tersebut diumumkan ketika keganasan Israel meningkat dan proses perdamaian di rantau itu menemui kebuntuan.
Trump menggariskan visinya untuk Gaza sebagai sebuah wilayah yang dibina semula di bawah pemantauan AS, dan mendakwa menyasarkan untuk menyediakan keselamatan dan peluang ekonomi kepada penduduk Palestin.
Beliau mendakwa pembabitan AS boleh menstabilkan rantau itu dan mewujudkan bab baru dalam keamanan.
Bagaimanapun, rancangan yang memerlukan perubahan besar dalam tadbir urus itu menimbulkan persoalan mengenai kedaulatan Palestin.
Para pakar berbelah bahagi sama ada plot Gaza yang diterajui AS boleh mengembalikan semula rundingan perdamaian atau memburukkan lagi kestabilan rantau itu.
Cadangan tersebut menandakan perubahan besar dalam dasar AS, mencerminkan pendekatan Trump terhadap diplomasi di Timur Tengah ketika komuniti antarabangsa kekal berhati-hati.
Sebelum ini, pemimpin AS berulang kali mencadangkan AS tidak sepatutnya ‘mengambil alih’ Gaza, menempatkan semula penduduk Palestin di lokasi lain dan membangun semula kawasan yang Trump kenali sebagai ‘The Riviera of the Middle East’.
Trump yang menggariskan visinya untuk Gaza mencadangkan Israel menyerahkan penguasaan wilayah yang dicerobohinya itu kepada AS selepas peperangan.
Beliau menyifatkan Gaza sebagai ‘tapak perobohan’ dan mencadangkan penduduk Palestin dipindahkan ke negara lain, termasuk Jordan dan Mesir.
Beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengerahkan tentera AS dan berikrar untuk melawat Gaza.
Bagaimanapun cadangan beliau melanggar undang-undang antarabangsa. – Agensi