Christopher Patit

MELAKA – Satu sindiket pengedaran dadah jenis MDMA (serbuk ekstasi) berjaya ditumpaskan selepas polis menahan tiga suspek dalam serbuan di Taman Melaka Raya pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, kesemua yang ditahan berusia 22 hingga 36 tahun membabitkan seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam dalam serbuan kira-kira 5 petang di sebuah rumah di Pangsapuri Hilir Kota.

“Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Melaka itu telah menemukan dadah jenis MDMA (serbuk ekstasi) seberat 876.20 gram dianggarkan bernilai RM12,000.

“Polis turut menyita harta milik semua suspek dianggarkan bernilai RM295,547 iaitu membabitkan rampasan antaranya kereta jenis Honda Civic, 38 barang kemas pelbagai jenis, dua jam tangan dan wang tunai RM3,500,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Christopher berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak awal Februari tahun ini dan dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal mendapati kesemua mereka positif dadah jenis ketamin dan semakan rekod mendapati seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18(5) Akta Penapisan Filem.

“Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula 15 hingga 21 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan masing-masing dan boleh disalurkan melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik 012-2087222,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here