KUALA LUMPUR – Slogan Sabah For Sabahan (Sabah Untuk Orang Sabah) tidak boleh disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian atau kemarahan terhadap orang lain.
Sebaliknya, Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, slogan itu seharusnya bertujuan menggalakkan keadilan, maruah dan saling menghormati.
Jelas bekas Ketua Menteri Sabah berkenaan, slogan itu juga menunjukkan kasih sayang dan kebanggaan rakyat Sabah terhadap negeri mereka.
Selain itu, tambah beliau, ia juga mencerminkan hasrat penduduk Sabah untuk mempertahankan hak mereka dan memiliki suara yang kukuh dalam menentukan masa depan sendiri.
“Slogan ini milik semua rakyat Sabah.
“Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia. Slogan ini perlu mencerminkan semangat rakyat Sabah dalam keluarga Malaysia yang kukuh dengan identiti sendiri, tetapi bersatu dalam kenegaraan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Salleh berkata, maksud sebenar Sabah For Sabahan bukanlah untuk menolak orang lain, tetapi untuk memastikan identiti, hak dan suara Sabah diiktiraf serta dihormati dalam sebuah negara Malaysia yang bersatu.
“Ini adalah seruan untuk keadilan, perpaduan dan kebanggaan agar Sabah dapat terus membangun dengan keyakinan dan bermaruah bersama seluruh negara,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mempertahankan slogan `Sabah For Sabahan’ yang disifatkannya sebagai pendirian yang sah untuk maruah politik, integriti perlembagaan dan kebenaran sejarah Sabah.
Jeffrey memberikan maklum balas terhadap gesaan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut slogan Sabah For Sabahan tidak seharusnya dibangkitkan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sentimen itu tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan keterangkuman antara parti politik dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan. – MalaysiaGazette