KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyediakan modul khas latihan integriti untuk semua ahli majlis bagi menyokong dasar mewajibkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menubuhkan unit integriti masing-masing.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, modul itu boleh dibangunkan dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) dan agensi berkaitan.
Selain itu, unit tersebut juga perlu diberi kuasa dan sumber yang mencukupi untuk bertindak secara bebas dan efektif.

Dalam masa sama, tambahnya, pelaporan ketelusan dan pematuhan integriti unit itu juga perlu dilakukan secara berkala dan dibuka untuk semakan awam bagi menggalakkan akauntabiliti.
Di samping itu, PBT juga perlu dipantau berdasarkan Indeks Tadbir Urus Baik yang dapat mengukur keberkesanan Unit Integriti, kecekapan pengurusan dan keberanian menegur kepincangan dalaman.
“MCW juga berpandangan penubuhan unit integriti ini mesti disusuli dengan program pembangunan kapasiti menyeluruh, khususnya kepada ahli majlis PBT.
“Ramai antara mereka terdiri daripada ahli politik lantikan, dan bukan penjawat awam berpengalaman.
“Oleh itu, latihan yang menyentuh aspek dasar awam, pemantauan perbelanjaan, peranan Laporan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), serta kefahaman terhadap isu integriti dan tadbir urus adalah amat kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, SPRM mewajibkan semua PBT menubuhkan unit integriti selewat-lewatnya 31 Ogos ini sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh memperkukuh integriti pentadbiran.
Menurut SPRM, sebagai langkah memperkemas struktur pelaporan, semua pegawai penghubung (LO) di PBT dikehendaki melapor terus kepada UI di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri dan bukan lagi kepada Yang Dipertua.
Dalam pada itu, Jais turut mengingatkan yang mana tanpa komitmen politik dan kefahaman mendalam dalam kalangan ahli majlis, reformasi pentadbiran di peringkat PBT seperti penubuhan Unit Integriti hanya akan tinggal sebagai arahan di atas kertas.
“Justeru, pendekatan holistik dan pendidikan berterusan amat penting demi menjadikan PBT sebagai institusi yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette