Nie Ching (dua kanan) merasmikan Karnival Kita Madani X Program MADANI Rakyat (PMR) @Dewan Serbaguna PPR Sri Stulang, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad berhubung hantarannya menyentuh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar kerana terdapat asas berbuat demikian.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, dalam kes itu, MCMC berhak memanggil mana-mana individu untuk merakam keterangan selepas terdapat asas untuk menjalankan siasatan.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata, siasatan tersebut dibolehkan walaupun Nurul Izzah sendiri tidak membuat laporan.

“Dalam kes membabitkan pempengaruh media sosial (Aliff Ahmad), tak semestinya Nurul Izzah Anwar yang membuat laporan, mungkin ada laporan daripada orang lain.

“Biasanya MCMC rasa ada keperluan, maka mereka berhak untuk mengambil tindakan dan menjalankan siasatan berhubung individu terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kita Madani X Program MADANI Rakyat (PMR) @Dewan Serbaguna PPR Sri Stulang di sini hari ini.

Pada 25 April lalu, Aliff dipanggil MCMC untuk memberi keterangan berhubung satu hantaran di Facebook berkaitan Nurul Izzah.

Aliff berkata, beliau disoal siasat berhubung tawarannya melakukan carian latar belakang terhadap Nurul Izzah sekiranya hantaran tersebut memperoleh 20,000 perkongsian.

Sabtu lalu, MCMC dilaporkan menggeledah premis milik Aliff dipercayai berhubung siasatan kandungan yang menyentuh isu 3R merujuk agama, kaum dan Institusi diraja.

MCMC melalui kenyataan mengesahkan pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap premis milik pempengaruh itu bertujuan mendapatkan keterangan lanjut berhubung siasatan dijalankan ke atasnya.

“Pemeriksaan terbabit dilaksanakan selepas MCMC memperoleh waran geledah dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut peruntukan Seksyen 247 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” menurut kenyataan itu.

Nie Ching yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, beliau tidak mengetahui lanjut sejauh mana perjalanan siasatan yang dijalankan MCMC berhubung kes itu.

“Saya tidak ada maklumat yang terperinci tentang kes tersebut, sekiranya mereka sudah melengkapkan kertas siasatan, ia akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

“Bagaimanapun, saya tidak tahu sama ada kes itu akan diteruskan atau tidak,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here