KUALA LUMPUR – Tiada sebarang perubahan dasar atau pengumuman polisi baharu berkaitan pelaksanaan bil terperinci oleh klinik perubatan swasta.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, hak pesakit untuk mendapatkan bil terperinci merupakan perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006.
Penyediaan bil terperinci hanya wajib dilaksanakan atas permintaan pesakit tanpa sebarang caj tambahan, bagi memudahkan pemahaman tentang butiran caj perkhidmatan, rawatan dan ubat-ubatan yang diterima.
“KKM yakin kerjasama yang baik dan berterusan antara semua pihak akan terus memperkasa kualiti perkhidmatan kesihatan serta menjaga kepentingan dan kebajikan pesakit secara bersama.
“Ini bertepatan dengan iltizam kerajaan memastikan semua pihak sama ada pesakit/pelanggan mahupun pihak perubatan swasta mendapat hak sama rata dalam semua perkara yang melibatkan aspek kesihatan secara menyeluruh,” ujarnya dalam kenyataan di sini.
Kenyataan ini bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul susulan kenyataan berkaitan kewajipan penyediaan bil terperinci oleh klinik perubatan swasta.
Ia susulan sesi Sesi TikTok Live tersebut berlangsung pada 14 Mei 2025 dengan topik ‘Mitos dan Fakta’ Pemaparan Harga Ubat, merupakan suatu sesi penerangan kepada orang awam berkenaan pelaksanaan inisiatif pemaparan Harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti. – MalaysiaGazette