Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang peniaga berputih mata selepas RM720,000 ‘ditelan’ pelaburan saham yang tidak wujud di laman Facebook.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Victor Genason berkata, mangsa yang merupakan seorang peniaga tempatan berusia 58 tahun itu membuat laporan polis semalam mendakwa ditipu.

“Pengadu mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian dan mengalami kerugian selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan berganda menerusi Facebook.

“Kejadian bermula pada 25 Mac lalu apabila mangsa melihat iklan di Facebook menawarkan pelaburan KKR Investment.

“Mangsa dijanjikan keuntungan yang tinggi sebanyak 50 peratus dalam tempoh tiga bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudian melakukan 15 transaksi ke dalam empat akaun yang berbeza bermula 25 Mac lalu hingga 9 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan RM730,500.

Katanya, mangsa diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan hasil keuntungan pelaburan namun gagal.

Mangsa ujarnya, kemudian menyedari dirinya telah ditipu apabila usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburannya gagal dan hanya mendapat pulangan wang pelaburan sebanyak RM9,700.00.

Siasatan awal mendapati tiga daripada empat akaun yang terbabit mempunyai keseluruhan 20 rekod laporan polis membabitkan kes penipuan pelaburan, katanya.

Victor berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang pelaburan yang menjanjikan pulangan wang tinggi.

“Orang awam juga diminta supaya sentiasa berhati-hati dan melakukan semakan terhadap sebarang pelaburan yang ditawarkan sebelum membuat sebarang pembayaran.

“Pastikan mendapat maklumat lengkap terhadap pelaburan dari sumber yang sah. Jika terdapat sebarang peluang pelaburan yang meragukan, laporkan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here