Keadaan bangkai trak polis dan lori muatan batu dalam nahas jalan raya yang mengorbankan sembilan mangsa termasuk anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus - Sungai Lampan, Teluk Intan, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 MEI 2025. (Gambar fail).

KESELAMATAN jalan raya merupakan isu yang tidak pernah surut dari perhatian masyarakat Malaysia. Saban hari, pelbagai insiden kemalangan dilaporkan melibatkan kenderaan persendirian, awam dan juga agensi penguatkuasa. Antara tragedi yang menggemparkan negara ialah nahas jalan raya melibatkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang meragut nyawa dan mencederakan anggota pasukan keselamatan negara. Kejadian seperti ini bukan sahaja menyentuh hati rakyat, malah mengajak kita semua untuk menilai semula aspek keselamatan jalan raya yang melibatkan semua pihak.

Kemalangan ngeri yang berlaku di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada pagi 13 Mei 2025 bukan sahaja meragut nyawa lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), malah mengundang semula kenangan tragis dalam sejarah keselamatan negara. Ibarat luka lama berdarah kembali. Insiden ini mengimbau kembali tragedi pada 28 Februari 1990, apabila sepasukan anggota FRU dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur terlibat dalam kemalangan maut di KM 31 Lebuhraya Karak, yang turut menyaksikan pengorbanan anggota pasukan keselamatan negara dalam keadaan yang menyayat hati.

Trak dinaiki kesemua mangsa dirempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan dalam insiden itu. Pertembungan kuat yang berlaku menyebabkan trak berkenaan terperosok ke bawah bas, sebelum bahagian badannya dihentam oleh sebuah lori tangki minyak yang cuba mengelak daripada pelanggaran tersebut.

Kemalangan yang melibatkan lori membawa muatan batu dipercayai menjadi punca utama tragedi di Teluk Intan. Situasi ini membangkitkan persoalan yang lebih besar – sejauh mana keselamatan jalan raya di Malaysia benar-benar terjamin, terutama apabila membabitkan kenderaan berat dan agensi penguatkuasa yang menjalankan tanggungjawab mereka?

Menurut statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 530,000 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara setakat Oktober 2024, dengan purata 18 kematian direkodkan setiap hari. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula melaporkan  pada tahun 2023, sebanyak 6,080 kematian akibat kemalangan dicatatkan – bersamaan satu nyawa hilang setiap 45 minit.

Sementara itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menegaskan bahawa kenderaan berat menyumbang peratusan tinggi kemalangan maut, terutamanya di lebuh raya dan jalan utama luar bandar. Muatan berlebihan, brek gagal dan keletihan pemandu menjadi faktor utama kepada statistik yang semakin membimbangkan ini.

Sehubungan dengan itu, bagi mengelakkan kemalangan melibatkan lori muatan berat seperti yang berlaku di Teluk Intan daripada terus berulang, beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan sistematik. Pertama sekali, penguatkuasaan terhadap had muatan perlu dipertingkatkan dengan lebih tegas.

Kenderaan berat seperti lori membawa batu sering kali melebihi had muatan yang ditetapkan, sekali gus meningkatkan risiko kegagalan brek dan kehilangan kawalan. Justeru, pemeriksaan ketat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu dilakukan secara berkala terhadap sistem teknikal lori termasuk brek, tayar, lampu dan kestabilan muatan. Selain itu, setiap syarikat pengangkutan wajar diwajibkan menjalani audit keselamatan berkala bagi memastikan pematuhan terhadap spesifikasi kejuruteraan dan peraturan lalu lintas jalan raya.

Pemandu lori juga memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan di jalan raya. Oleh itu, mereka perlu menjalani latihan pemanduan defensif dan kursus khas yang memberi tumpuan kepada teknik mengendalikan kenderaan berat dalam situasi kecemasan. Pensijilan semula lesen memandu kelas E dan GDL wajar diwajibkan secara berkala bagi memastikan tahap kompetensi sentiasa berada pada paras optimum.

Dalam era digital ini, penggunaan teknologi seperti sistem pemantauan GPS, telematik, sensor kestabilan dan brek kecemasan automatik harus menjadi standard bagi setiap lori berat. Pemantauan masa nyata ini dapat membantu pihak penguat kuasa dan pengendali logistik mengesan corak pemanduan berisiko tinggi serta mengambil tindakan awal sebelum kemalangan berlaku.

Selain itu, penetapan laluan dan waktu operasi lori berat juga perlu dikaji semula. Pihak berkuasa tempatan boleh melaksanakan zon larangan waktu atau laluan alternatif bagi mengelakkan pertindihan antara pergerakan kenderaan berat dan pengguna jalan raya lain termasuk kenderaan rasmi agensi penguat kuasa.

Satu aspek penting yang sering diabaikan adalah pematuhan kepada garis panduan penyelenggaraan kenderaan. Untuk itu, syarikat pengangkutan perlu mematuhi garis panduan penyelenggaraan pencegahan yang melibatkan pemeriksaan berkala terhadap sistem brek, tayar dan komponen utama lori untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan sempurna. Penyelenggaraan pencegahan ini bertujuan untuk mengelakkan kerosakan yang tidak dijangka yang boleh menyebabkan kemalangan.

Sebaliknya, penyelenggaraan pembetulan perlu dilakukan apabila berlaku kerosakan atau kegagalan dalam sistem kenderaan. Ia adalah langkah penyelenggaraan reaktif yang memerlukan perhatian segera untuk memastikan kenderaan dapat beroperasi semula dengan selamat. Setiap syarikat pengangkutan harus mengikut standard penyelenggaraan yang ditetapkan oleh MIROS dan JPJ, yang meliputi peraturan operasi dan keselamatan, serta penyelenggaraan jangka panjang bagi memastikan kenderaan tetap selamat di jalan raya.

Akhir sekali, perlu diwujudkan kerjasama bersepadu antara agensi seperti PDRM, JPJ, MIROS dan pengendali logistik dalam menyusun semula garis panduan keselamatan. Pelaksanaan audit forensik pasca kemalangan, latihan pengurusan risiko dan platform maklum balas awam perlu dijadikan sebahagian daripada sistem keselamatan jalan raya yang lebih mampan dan berkesan. Tragedi yang berlaku seharusnya menjadi pencetus kepada perubahan dasar dan bukan sekadar catatan hitam dalam sejarah keselamatan negara.

Setiap tragedi yang meragut nyawa tidak hanya meninggalkan kesan pada keluarga yang kehilangan orang tersayang, tetapi juga pada seluruh masyarakat yang berkongsi rasa kesedihan dan kehilangan itu. Tragedi yang menimpa anggota FRU di Teluk Intan ini mengingatkan kita bahawa kehilangan adalah suatu pengorbanan yang tidak ternilai harganya. Para anggota keselamatan negara yang menjalankan tugas demi kebaikan masyarakat dan negara seharusnya dilindungi dan diberi perhatian sepenuhnya, bukan hanya ketika mereka berada di medan tugas, tetapi juga ketika mereka melintasi jalan raya.

Kehilangan lapan anggota FRU ini seharusnya menjadi titik tolak bagi kita semua untuk merenung dan bertindak dengan lebih bijaksana. Nyawa yang hilang tidak boleh dikembalikan, namun kita sebagai sebuah negara, sebuah masyarakat dan sebuah komuniti yang bertanggungjawab, boleh memastikan bahawa tragedi serupa tidak akan berulang.

Dengan langkah-langkah penambahbaikan yang lebih tegas dan berkesan, kita dapat memberikan penghormatan terbaik kepada mereka yang telah gugur dengan memastikan keselamatan di jalan raya menjadi keutamaan kita semua. Semoga setiap titisan darah yang tumpah menjadi pencetus perubahan yang lebih baik. Bagi setiap nyawa yang hilang, kita berdoa agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Kami tidak akan lupa, dan kami akan terus berusaha untuk mencipta dunia yang lebih selamat, buat generasi yang akan datang.

Oleh: Dr. Zuritah A.Kadir
Pensyarah Kanan
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 

 

 

Dr. Nurrul Hafeezah Sahak
Pensyarah Kanan
Jabatan Fizik Gunaan
Fakulti Sains & Teknologi
Universiti Kebangsaan Malaysia 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here