Toyota Camry dihantar pada 4 Mac lalu dan digunakan bagi tujuan urusan rasmi kerajaan negeri. - Gambar ihsan Buletin Mutiara.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima 15 buah kenderaan rasmi baharu jenis Toyota Camry 2.5V (AT) (CBU) bernilai RM3,311,895 untuk kegunaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan pegawai tertinggi kerajaan negeri.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, jumlah perbelanjaan tersebut termasuk cukai dan duti eksais selain pembelian dibuat bagi menggantikan kenderaan rasmi sedia ada yang telah digunakan melebihi lima tahun sejak pembelian pada tahun 2020.

“Daripada jumlah tersebut, 10 buah kenderaan diperuntukkan kepada EXCO manakala tiga lagi untuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

“Dua buah kenderaan lagi masing-masing untuk kegunaan rasmi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri serta Timbalan Yang Dipertua Dewan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 15 buah kereta,” katanya kepada pemberita di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Kon Yeow memaklumkan perkara itu menjawab soalan bertulis kepada soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng (DAP) dan ADUN Penaga, Yusni Mat Piah (Pas).

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kenderaan baharu itu telah dihantar pada 4 Mac lalu dan digunakan bagi tujuan urusan rasmi kerajaan negeri.

Ditanya mengenai anggaran kos setiap unit kenderaan, beliau menjelaskan, harga purata sebuah Toyota Camry yang dibeli adalah sekitar RM220,793 seunit.

Ditanya sama ada kenderaan tersebut merupakan kenderaan elektrik (EV) sejajar dengan inisiatif hijau kerajaan negeri, Kon Yeow memaklumkan beliau tidak mengetahui spesifikasi penuh model yang dibeli. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here