Nik Nazmi dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon merasmikan Jawatankuasa Khas Konflik Manusia dan Gajah Negeri Johor di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merekodkan 66,825 aduan berkaitan konflik manusia dan hidupan liar bagi tempoh 2020 hingga 2024 yang melibatkan kerugian RM46.5 juta.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, statistik tersebut menunjukkan peningkatan ketara dan daripada jumlah itu 7,996 aduan direkodkan di Johor dengan kerugian RM6.88 juta.

Beliau memberitahu, selain gajah, konflik berkenaan turut melibatkan haiwan seperti kera, babi hutan, harimau Malaya dan tapir.

“Kita perlukan satu tindakan bersepadu melibatkan semua pihak untuk selesaikan isu ini.

“Pendekatan lebih tuntas dan berkesan untuk tangani isu konflik manusia dan hidupan liar merupakan satu perkara mendesak sebagaimana kita lihat beberapa isu yang tular akhir-akhir ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jawatankuasa Khas Konflik Manusia dan Gajah Negeri Johor di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

Mengulas lanjut, beliau berkata, konflik melibatkan gajah banyak melibatkan kerosakan harta benda dan juga nyawa manusia.

Disebabkan faktor itu katanya, tumpuan diberikan dan isu tersebut mendesak di Johor.

“Pelbagai usaha dilaksanakan NRES melalui Perhilitan bagi menangani konflik manusia dan gajah termasuk menubuhkan santuari seperti di Kota Tinggi serta melaksanakan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar dengan peruntukan 10 juta ringgit, tahun lalu,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya turut merangka pelan jangka masa pendek dan panjang bekerjasama dengan kerajaan negeri serta syarikat perladangan penanaman sebagai sumber makanan gajah untuk menyediakan 21 bank makanan untuk haiwan tersebut.

Nik Nazmi berkata, kementerian telah melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar terutama gajah.

Menurutnya, ini termasuk memelihara Central Forest Spine dan menambah kawasan perlindungan menerusi di bawah Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT).

“Apabila kerajaan perkenalkan EFT, kita ada tengok peningkatan kawasan perlindungan di laut dan darat, (sehingga kini) kawasan keseluruhan 300,000 hektar.

“Daripada jumlah itu, 90,000 hektar melibatkan darat, yang mana 14,000 hektar daripadanya telah digazet sebagai Hutan Simpan Kekal,” katanya.

Terdahulu Nik Nazmi menyambut baik usaha kerajaan negeri yang mengambil langkah proaktif menubuhkan jawatankuasa bagi menyelaras tindakan pengurusan konflik gajah dan manusia di negeri ini secara bersepadu dan sistematik.

Beliau berkata, langkah strategik itu sewajarnya dijadikan contoh negeri lain bagi meningkatkan keberkesanan usaha menangani konflik manusia dan hidupan liar.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here