Dzulkefly Ahmad

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mendesak UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian sama ada bertanding dua atau tidak penjuru dalam pilihan raya negeri (PRN) ke-16.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan UMNO dan BN perlu bagi memudahkan Pakatan Harapan (PH) meletakkan hala tujunya pada PRN itu nanti.

Jelasnya, ketetapan itu perlu kerana Amanah Johor maklum UMNO dan BN memang tidak bersedia berunding dengan PH Johor untuk keberlangsungan politik di Johor khususnya berhadapan PRN16.

Menurutnya, ia berdasarkan beberapa maklum balas pimpinan khususnya UMNO selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain baru-baru ini.

“Kenyataan Dr Zuhan sebelum ini bertujuan mengariskan strategi PH dalam berhadapan PRN16 dan tiada langsung kaitan dengan UMNO yang menerajui kerajaan Johor hari ini.

“Apa yang menjadi pertikaian kami adalah pembentukan kerajaan di negeri ini yang tidak meraikan rakan-rakan dalam PH Johor seperti penjawatanan lantikan politik sehingga penyokong dan pendokong PH Johor mula bersuara mempertikai berkenaan dengan pembentukan kerajaan di Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Dzulkefly berkata, penglibatan itu antara lain bertujuan melihat pentingnya penglibatan PH Johor dalam usaha membangunkan negeri ini.

“Jika UMNO dan BN tidak mahu melibatkan PH maka dari situlah timbulnya cadangan untuk PH tidak bersama dalam PRN16 akan datang.

“UMNO dan BN seharusnya berjiwa besar dalam menerima teguran bukan dengan melenting sehingga menuduh dan memperlekehkan rakan-rakan dalam PH yang juga merupakan komponen Kerajaan Perpaduan di Putrajaya,” katanya.

Zuhan sebelum ini dilaporkan berkata, PH Johor sedia bertanding secara solo tanpa perlu kerjasama dengan mana-mana gabungan politik pada PRN nanti.

Menurut Zuhan, PH boleh bertanding di semua kerusi di Johor kerana melihat kemungkinan itu ada dan berdasarkan situasi semasa.

Pada PRN sebelum ini, PH menang 13 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor manakala Barisan Nasional (BN) pula menawan 40 kerusi DUN diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here